PASARAN

FBM KLCI Atasi Sebahagian Besar Penyusutan Awal Pada Dagangan Tengah Hari

29/11/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengatasi sebahagian besar penyusutan awalnya pada tengah hari, dipacu terutamanya oleh saham-saham Public Bank dan Axiata.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.14 mata kepada 1,597.35 daripada paras penutup pada 1,597.49.

Indeks itu dibuka susut 1.13 mata kepada 1,596.36 dan bergerak dalam julat 1,586.39 hingga 1,597.73 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 486 berbanding 414 manakala 428 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,132 tidak diniagakan dan 56 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion unit bernilai RM1.25 bilion.

Seorang penganalisis berkata aktiviti memburu saham-saham berharga rendah muncul kembali apabila pelabur memanfaatkan peluang dalam pasaran yang susut, sekali gus membantu pemulihan kaunter tertentu.

Bagaimanapun, sejajar keadaan pasaran yang dipacu pemangkin itu kekal lengang, minat pembelian itu hanya membabitkan kaunter tertentu, katanya.

Pasaran serantau juga lebih negatif dan seiring dengan prestasi semalaman Wall Street yang ditutup bersempena cuti umum Thanksgiving pada Khamis.

Berikutan itu, tumpuan pasaran beralih kepada inflasi Jepun yang mencecah 2.6 peratus pada November.

Di Korea Selatan, data menunjukkan pengeluaran perindustrian mencatat pemulihan dengan berkembang sebanyak 2.3 peratus pada Oktober daripada 1.3 peratus pada September.

Data itu bagaimanapun tidak membantu pasaran saham negara itu yang susut lebih daripada 1.0 peratus.

Dalam pada itu, di peringkat tempatan, Public Bank meraih empat sen kepada RM4.45, Axiata dan SD Guthrie masing-masing naik lapan sen kepada RM2.42 dan RM4.83, Hong Leong Bank menokok 22 sen kepada RM20.78 manakala Nestle memperoleh RM1.50 kepada RM97.50.

Tenaga Nasional pula susut 48 sen kepada RM13.50.

Bagi saham aktif, Zen Tech dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 1.0 sen dan 4.0 sen.

Supreme Consolidated yang kini penyenaraiannya berpindah daripada pasaran LEAP ke Pasaran ACE hari ini, meningkat 8.5 sen kepada 33.5 sen manakala Capital A turun lima sen kepada RM1.04.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 8.74 mata kepada 12,153.97, Indeks FBMT 100 meningkat sebanyak 7.97 mata kepada 11,849.26 dan Indeks FBM 70 menokok 45.11 mata kepada 17,908.31.

Indeks FBM Emas Shariah pula susut 15.59 mata kepada 12,071.98 dan Indeks FBM ACE berkurangan 15.06 mata kepada 5,134.08.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 99.13 mata kepada 19,206.46, Indeks Tenaga menambah 2.52 mata kepada 818.40, Indeks Perladangan naik 75.91 mata kepada 7,565.11 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meraih 0.16 mata kepada 170.76.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy