KUANTAN, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan membina pangsapuri bagi membantu golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah sejajar misi memastikan tiada lapisan masyarakat di negeri ini terpinggir daripada mempunyai kediaman sendiri.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Projek Pangsapuri Pahang itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun depan di setiap daerah.
“Itu ialah projek perintis di mana kita dapati tanah semakin kurang. Jadi, dengan adanya pangsapuri ini, contohnya, satu ekar atau dua ekar, ramai akan dapat duduk di situ.
“Lokasinya kita masih belum kenal pasti tetapi yang pastinya ia akan menguntungkan mereka yang B40. Kita akan bermula (dengan pembinaan) satu dahulu, dijangka tahun depan. Saya sudah minta PTG (Pejabat Tanah dan Galian) cari tapak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada pangsapuri itu akan diberikan secara percuma atau menerusi kaedah sewa beli, Wan Rosdy berkata perkara itu masih dalam perbincangan.
“Yang penting, (ia) memudahkan rakyat. Kita tengah lihat sama ada seseorang itu, kalau dia duduk lebih daripada beberapa tahun, berapa baki yang tinggal, dan beri kepada dia. Ini semua masih dalam perbincangan,” katanya.
Sebelum itu, Wan Rosdy semasa pembentangan Belanjawan 2025 berkata sebanyak 350 unit Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 akan dibina melibatkan kos RM28.7 juta menerusi peruntukan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang dengan sokongan peruntukan RM9.45 juta daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM9.84 juta bagi membina 120 unit Rumah Rakyat Pahang Fasa 6 khusus untuk masyarakat Orang Asli.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan Rumah Rakyat dengan menampung kenaikan kos pembinaan setiap rumah daripada RM75 ribu kepada RM80 ribu,” katanya.
-- BERNAMA