AM

Bernama Rangkul Enam Anugerah Di MPRA 2024

30/11/2024 12:56 AM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul enam anugerah pada Majlis Anugerah Perhubungan Awam (MPRA) 2024 menerusi kategori Anugerah Media malam ini.

Bernama memenangi tiga emas bagi kategori Liputan Isu & Krisis: Media Dalam Talian menerusi laporan Demistifying the Issues Behind Malaysia’s Overhang and Unsold Residential Properties dan kategori Tanggungjawab Sosial: Media Dalam Talian masing-masing menerusi laporan When Solar Panels Retire: Navigating The Wave dan Anda Berhak Menerimanya, Titah Agong Kepada Pengawal Keselamatan Tular.

Sementara dua perak masing-masing bagi kategori Tanggungjawab Sosial: Media Dalam Talian menerusi laporan From Sun to Scrap: The Impending Impact of Solar Waste dan kategori Liputan Gaya Hidup: Media Dalam Talian menerusi laporan 'King of the Road’ Loses Crown to Bezza.

Bernama turut memenangi satu gangsa bagi kategori Tanggungjawab Sosial: Media Penyiaran menerusi laporan Derita 15 Tahun Akhirnya Menemui Sinar dengan Pembinaan Jambatan Baru.

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Urusan Perspective Strategies Andy See, Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit Datuk Dr Hartini Zainudin, Pengurus Besar Strategic Public Relations Sdn Bhd Stefanie Braukmann dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

MPRA 2024 anjuran Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia menerima penyertaan sebanyak 184 dengan jumlah 38 emas, 42 perak dan 30 gangsa dalam 35 kategori.

Antara kategori yang dipertandingkan Pengguna Umum, PR Bersepadu dan Digital serta Anugerah Pelajar.

Turut disampaikan anugerah khas PRCA Malaysia iaitu Anugerah Kepimpinan kepada Maimunah dan Anugerah Komuniti 'Making A Difference' kepada Hartini.

Presiden PRCA Malaysia Profesor Mohd Said Bani CM Din berkata ini adalah tahun pertama pihaknya memperkenalkan anugerah untuk media dan berpendapat kesemua anugerah dirangkul Bernama malam ini antaranya atas faktor jalan penceritaan yang kuat kepada pembaca.

“Bernama memang berhak menang anugerah-anugerah itu kerana juri yang memilih Bernama untuk kategori dimenangi memang berpendapat jalan penceritaan Bernama itu bagus dan kandungannya memang very newsworthy, very strong

“Kedua, cara penceritaan dan ketiga, pentingnya cerita yang diceritakan oleh media antaranya beberapa kriteria seperti cara dia memaparkan cerita itu, contohnya gambar. Kalau dalam talian, susun atur mungkin bukan satu perkara yang penting tetapi cara dia memaparkan penceritaan itu dengan gambar-gambar, susun atur itu memang penting. Itu adalah satu daripada kriteria,” katanya.

PRCA, yang ditubuhkan pada 1969, bermatlamat meningkatkan standard dalam perhubungan awam dan komunikasi, menyediakan data industri kepada ahli, memudahkan perkongsian amalan terbaik komunikasi serta mewujudkan peluang rangkaian.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy