KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Berpenampilan anggun dengan uniform pramugari sambil menarik bagasi, tentu ramai yang menyangka wanita ini sedang bergegas ke lapangan terbang untuk bertugas.
Namun, sebenarnya langkah Hanim Joufry, 43, yang disusun seawal 7 pagi tadi, bukan ke pesawat, sebaliknya menuju garisan penamat bagi acara larian ria “Railway to See Malaysia 2024” sejauh empat kilometer.
"Bersesuaian dengan konsep ala pelancongan, saya rasa uniform pramugari boleh menjadi kostum unik dan berbeza sebagai peserta. Sebelum ini saya pernah memakai kostum adiwira di acara larian ria," katanya kepada Bernama selepas menamatkan acara yang disertai oleh lebih 2,000 peserta itu.
pic-2
Hanim yang bekerja sabagai jurulatih kecergasan, juga sanggup bangun seawal 5 pagi untuk bersiap demi memeriahkan suasana dan meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat dirinya malah peserta lain.
Turut menarik perhatian kelibat “samurai” yang menamatkan larian itu dengan pedang kayu, seolah-olah sedang menuju medan pertempuran.
"Acara larian ini menjadi satu medium untuk (peserta) mengenakan (pelbagai) kostum. Matlamat saya juga lebih kepada bersantai, bukan ada sasaran tertentu,” kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Bro Samurai itu.
pic-3
Berkebaya dan berkain batik, Jamy Johan, 52, pula mahu mengetengahkan simbol kekuatan dalam keanggunan seorang wanita ketika mengharungi perjuangan.
"Melalui pakaian ini, saya ingin menyeru kepada semua agar hentikan keganasan terhadap wanita. Setiap wanita berhak hidup dengan aman dan dihormati, tanpa rasa takut atau ancaman," katanya.
pic-4
Rata-rata peserta yang hadir mengenakan pakaian berwarna-warni termasuk ala bercuti di pantai selain mengenakan sarung batik dan bercucuk sanggul.
Acara larian ria empat dan tujuh kilometer masing-masing itu dianjurkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad, bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, selain memeriahkan dan merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
-- BERNAMA