AM

Jalan Di Taman Sri Bayu, Tumpat Terputus Akibat Banjir - JKR

30/11/2024 05:34 PM

KOTA BHARU, 30 Nov (Bernama) -- Jalan negeri dekat Taman Sri Bayu di Tumpat yang menghubungkan Bandar Tumpat ke Pengkalan Kubor terputus akibat banjir, kira-kira 5 petang semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan pihaknya telah menutup laluan tersebut dengan segera untuk semua jenis kenderaan dengan meletakkan papan tanda amaran.

"Laluan tersebut terputus sepanjang kira-kira 60 meter akibat arus deras daripada banjir yang berlaku di beberapa kampung berdekatan pada petang semalam.

"Tindakan awal yang boleh kita buat adalah tutup jalan tersebut buat sementara waktu terlebih dahulu, memandangkan kerja-kerja baik pulih tidak dapat dilakukan kerana air belum surut di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata pengguna boleh menggunakan laluan alternatif di hadapan JKR Tumpat melalui Hospital Tumpat ke Kampung Geting.

"Cadangan kita mungkin akan buat jambatan kekal tetapi ia masih lagi dalam peringkat penelitian dan kajian terlebih dahulu," katanya.

Semalam, tular di aplikasi media sosial seperti TikTok dan Facebook kejadian itu sehingga mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy