AM

300 Peserta Sertai RFC Grand Final 2024 Di Lenggong

30/11/2024 06:22 PM

LENGGONG, 30 Nov (Bernama) -- Sebanyak 300 individu dan wakil media dari lebih 20 negara menyertai Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2024 bermula semalam hingga 9 Dis ini, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata antara kategori kenderaan yang menyertai RFC kali ini ialah R1 Prototype, R2 Semi Modified, R3 Standard dan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV).

Beliau berkata selain Malaysia, peserta antaranya dari Poland, Jerman, Rusia, India, Sri Lanka, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Singapura dengan penglibatan 150 jentera pacuan empat roda.

“RFC yang memasuki edisi ke-27 ini juga telah menobatkan Malaysia di mata dunia iaitu acara ini menduduki tempat ketiga daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan acara berkenaan di Dataran Lenggong di sini hari ini.

Beliau berkata acara berkenaan akan membabitkan laluan sekitar Lenggong termasuk kawasan pedalaman di sekitar Hutan Simpan Piah (Terkop), Hutan Simpan Piah (Kampung Sanum Pos Poi) dan Hutan Simpan Korbu (Ulu Kuang).

“Di sepanjang lokasi ini, peserta bukan sahaja menempuh laluan berliku yang mencabar mental dan fizikal mereka, tetapi juga menikmati panaroma yang memukau,” katanya.

Loh berkata penganjuran sukan lasak di Lenggong adalah usaha kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi menonjolkan daerah itu sebagai hab sukan lasak termasuk di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini kita ada Rimba Raid Lenggong 2024 yang mengumpulkan peserta yang bergiat aktif dalam sukan permotoran lasak, selepas itu kita ada Kejohanan Lenggong Iron Bound A1 World Cup yang berlangsung bulan ini (November).

“Kali ini RFC, jadi bagi saya ini antara penyumbang yang mampu memberi nilai tambah dalam menaikkan nama Lenggong selain memberi limpahan rezeki kepada masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy