KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL) musim ke-14, Selangor Red Giants (SRG) berdepan tugas sukar untuk mara ke pusingan kalah mati Kejohanan Dunia MLBB M6 apabila tewas kepada wakil Myanmar, Falcon Esports pada aksi ketiga peringkat swiss hari ini.
Pada aksi yang menggunakan format Best of 1 (BO1), anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) bermula baik di awal permainan apabila mendahului dari segi bilangan kills dan kutipan gold di IOI City Mall, Putrajaya.
Malah SRG juga pada satu ketika berada di ambang kemenangan namun pemain Falcon Esport berjaya mempamerkan pertahanan kemas untuk mengecewakan wakil tuan rumah.
Kesilapan SRG pada lewat permainan yang rakus untuk memperoleh lord, nyata membawa padah apabila tiga pemainnya ditumbangkan oleh Falcon Esport.
Kelebihan itu digunakan sebaiknya oleh wakil Myanmar untuk melakukan serangan balas dan akhirnya berjaya memusnahkan kristal SRG untuk muncul pemenang selepas 20 minit pertarungan.
Ini merupakan kekalahan kedua SRG di kejohanan itu selepas tewas kepada wakil Turkiye S2G pada perlawanan pembukaan Khamis lepas.
SRG hanya meraih satu kemenangan apabila menewaskan wakil Turkiye ULFHEDNAR (ULF) semalam.
Mengikut format pertandingan hanya lapan pasukan terbaik pada peringkat swiss akan mara ke peringkat kalah mati.
-- BERNAMA