AM

Keluarga Mangsa Banjir Kelantan Mohon Bantuan Melalui TikTok

30/11/2024 07:50 PM

KOTA BHARU, 30 Nov (Bernama) -- Beberapa individu didapati meminta bantuan menerusi media sosial TikTok bagi menyelamatkan keluarga mereka yang terperangkap di rumah akibat banjir di Kelantan.

Hasil tinjauan Bernama di aplikasi media sosial itu hari ini mendapati seorang pengguna TikTok dengan nama Sufia Syahida menggunakan platform tersebut selepas buntu kerana masih tidak dapat menghubungi ibunya yang berada di Pondok Gelang Mas, Meranti, Pasir Mas.

Dalam satu hantarannya semalam, dia memaklumkan kali terakhir dapat berhubung dengan ibunya pada 7 pagi apabila ibunya yang berusia 71 tahun ingin mengharungi air bagi mendapatkan bekalan makanan dan air bersih selepas terperangkap sejak dua hari lepas.

Berikutan itu, menerusi hantaran terbaharunya pagi tadi dia memaklumkan dapat berhubung dengan seorang penduduk di kawasan berkenaan yang meminta gambar ibunya itu untuk dicari di dua tempat selamat yang digunakan oleh mangsa banjir berkumpul. 

Sufia Syahida berkata individu berkenaan yang berhubung dengannya juga menerusi TikTok akan cuba ke kawasan selamat berkenaan hari ini untuk cuba mencari ibunya.

“Kalau jumpa (ibu) dia akan maklumkan dan minta sesiapa ambilkan ibu saya keluar tapi arus deras dan dalam. Dan katanya lagi beras ada cuma kehabisan lauk, terpaksa catu makanan. Dia kata tiada lagi apa-apa bantuan masuk ke sana,” katanya.

Seorang lagi pengguna TikTok dengan nama Syzmira.bakri berkata dia membuat hantaran mengenai ayah dan ibunya yang terperangkap di Kampung Bakong, Pasir Mas petang semalam.

Dia berkata pada malam tadi, keluarganya itu telah berjaya diselamatkan bersama penduduk lain selepas lebih sehari terperangkap dan kini mereka tinggal di rumah saudara yang tidak terjejas banjir.

“Alhamdulillah, terima kasih hamba Allah yang bantu keluarkan mama dan abah saya dari rumah,” katanya dalam hantaran terbaharunya.

Sebelum itu, pengguna TikTok berkenaan membuat hantaran meminta bantuan dengan menghantar beberapa keping gambar rumah ibu bapanya itu sudah dinaiki air yang menurutnya sudah mencapai paras lebih 0.5 meter.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy