AM

Johor Cadang Wajibkan Pelajar 16 Tahun Ceburi Persatuan - Exco

01/12/2024 02:20 PM

ISKANDAR PUTERI, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor bercadang mewajibkan pelajar berusia 16 tahun ke atas di negeri ini untuk menceburi sebarang persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau Southern Volunteers (SV). 

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata langkah itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka sebelum memasuki alam remaja, dan selepas keluar daripada alam persekolahan.

Beliau berkata satu transformasi baharu sedang dikaji supaya pelajar berusia 16 tahun ke atas diwajibkan menceburi persatuan atau pertubuhan sukarela seperti Majlis Belia Daerah atau SV Muda, mengikut pilihan mereka. 

"Pelaksanaan dan pendedahan ini membolehkan golongan berkenaan tidak berasa kekok menceburi persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang bertanya sekiranya Johor berhasrat menubuhkan kelab belia di semua sekolah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini. 

Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor tidak berhasrat untuk menubuhkan persatuan atau pertubuhan belia di semua sekolah di negeri ini, sebagai menghormati Dasar Pelaksanaan Kokurikulum dan juga Akta Pendidikan 1961 sedia ada di Kementerian Pendidikan.

"Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak menubuhkan kelab belia di sekolah kerana ia dilihat akan menambah beban sedia ada guru dan turut mengambil kira faktor bahawa Malaysia masih kekurangan tenaga pengajar.

"Untuk makluman, Johor memiliki hampir dua juta belia, iaitu separuh daripada populasi keseluruhan negeri Johor yang direkodkan seramai 4.1 juta penduduk berdasarkan rekod terkini Jabatan Perangkaan.

"Bagi persatuan atau pertubuhan belia yang berdaftar di Johor keseluruhannya adalah berjumlah 1,123," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy