AM

Kesihatan Mental: Ibu Bapa, Guru, Pelajar Perlu Peka, Kesan Tanda Awal Kecenderungan Bunuh Diri

01/12/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Ibu bapa, guru dan pelajar sekolah perlu peka terhadap tanda-tanda mengenai penderitaan seseorang, di samping secara aktif menawarkan sokongan penuh empati kepada mereka yang mungkin sedang menimbangkan untuk membunuh diri.

Penaung KL Befrienders Tan Sri Lee Lam Thye berkata mereka perlu menggalakkan individu berkenaan untuk mendapatkan bantuan, dengan bertemu kaunselor sekolah atau mana-mana orang dewasa yang mereka rasa selesa, kerana sangat penting bagi mereka mempunyai ruang yang selamat bagi meluahkan penderitaan emosi.

“Kematian remaja termasuk pelajar sekolah yang berlaku dalam beberapa minggu lepas membimbangkan saya. Kehilangan nyawa golongan muda ini sangat menyedihkan, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa dalam dunia hari ini, tahap tekanan begitu tinggi sehingga kadangkala sukar untuk dihadapi.

“Murid-murid sekolah terutamanya sering menanggung tahap tekanan yang luar biasa, antaranya berpunca daripada tekanan akademik, tekanan rakan sebaya, masalah hubungan, buli serta jangkaan atau harapan tinggi ibu bapa, guru dan diri mereka sendiri.

“Beban untuk menangani isu seperti ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental seseorang, malah boleh membawa kepada kejadian bunuh diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata adalah penting untuk mengesan beberapa tanda-tanda ini, antaranya bercakap atau membuat hantaran di media sosial mengenai kematian, mengalami kesakitan emosi yang tidak tertanggung termasuk perasaan putus asa dan tidak berdaya, memencilkan diri daripada rakan dan keluarga, serta penurunan mendadak prestasi akademik secara tiba-tiba.

Tanda-tanda lain termasuk kehilangan minat terhadap perkara yang biasa mereka lakukan, mengabaikan penampilan diri, perubahan ketara dalam pola makan dan tidur mereka, dan mengucapkan selamat tinggal atau memberikan barang-barang berharga.

Lee juga menekankan kepentingan berkongsi nombor talian bantuan seperti Befrienders KL dan Talian HEAL yang memberi banyak manfaat, kerana ia menawarkan ruang yang selamat dan bebas daripada sebarang prasangka, bagi individu yang ingin mendapatkan sokongan secara rahsia.

“Sila perhatikan mereka yang mungkin bergelut secara mental. Jika anda menghadapi kesulitan, ketahuilah bahawa terdapat individu di luar sana yang mengambil berat tentang anda dan ingin membantu. Jangan berasa ragu-ragu, hubungi dan bercakaplah dengan seseorang yang anda percayai, atau hubungi talian bantuan.

“Untuk mendapatkan sokongan emosi percuma dan rahsia, anda boleh menghubungi Befrienders KL di 03-76272929 (24 jam) atau melalui e-mel di sam@befrienders.org.my untuk bercakap dalam ruang yang selamat. Terdapat juga Talian HEAL oleh Kementerian Kesihatan di talian 15555 (8 pagi hingga 12 tengah malam),” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy