AM

Kampung Ujong Permatang Dipilih Sebagai Kampung Angkat SKM

01/12/2024 02:46 PM

KUALA SELANGOR, 1 Dis (Bernama) -- Kampung Ujong Permatang, di sini dipilih sebagai kampung angkat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).

Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar berkata dalam meningkatkan keupayaan ekonomi kampung berkenaan, SKM telah menyerahkan surat kelulusan prapendaftaran penubuhan koperasi yang pertama di kampung berkenaan.

“Saya minta supaya jawatankuasa atau bakal lembaga koperasi yang bakal ditubuhkan di sini untuk melihat peluang-peluang yang boleh diterokai, kerana di sini lebih tertumpu kepada pertanian.

“Mungkin boleh lihat dari segi pusat pengumpulan hasil pertanian atau kedai pengguna yang boleh diuruskan secara koperasi...SKM akan bantu untuk memandu penubuhan koperasi di sini dan pastikan ia akan menjadi yang terbaik,” katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program Santuni MADANI Kampung Ujong Permatang di sini hari ini.

Beliau berkata kampung tersebut yang menempatkan seramai 740 penduduk telah diberikan penerangan dan maklumat mengenai kepentingan dan manfaat koperasi oleh pihak SKM Selangor.

“Sekarang apa yang perlu dilakukan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah untuk mengadakan mesyuarat agung dan pastikan kesemua dokumen dapat dihantar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

SKM dalam program hari ini turut mengadakan Jualan MADANI Koperasi (JMK) dengan tawaran diskaun sebanyak 30 peratus bagi barangan makanan seperti daging lembu, ayam dan sayur-sayuran.

Suruhanjaya itu turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM48,550 bagi tujuan naik taraf Sekolah Rendah Agama Ujong Permatang, bagi kemudahan hampir 100 pelajar kampung tersebut.

Program Santuni MADANI yang digarapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy