KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Perkhidmatan rawatan kesuburan dan kehamilan yang ditawarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata klinik fertiliti LPPKN mencatatkan 21 peratus kadar kehamilan atau 6,249 individu berjaya hamil daripada keseluruhan 29,163 individu yang menjalani rawatan subfertiliti bagi tempoh 1979 hingga Oktober 2024.
Beliau berkata peratus kejayaan itu adalah setanding dengan kadar kejayaan hamil standard antarabangsa yang dikeluarkan Fertility Registry of USA selain menepati maqasid syariah iaitu menjaga nasab keturunan dengan tidak sama sekali menggunakan bank sperma penderma.
“Untuk tahun ini, 200 kehamilan direkodkan. Setiap tahun kes baharu dan ulangan yang diterima LPPKN boleh mencecah 9,000 kes dan secara keseluruhan terdapat 42,941 kes baharu dan 271,501 kes ulangan direkodkan dari tahun 1979 hingga Oktober 2024.
“Usaha yang dilakukan ini telah membantu ramai pasangan untuk memiliki cahaya mata, malah ada pasangan yang berjaya mendapat kembar empat dalam sekali kehamilan menerusi rawatan di LPPKN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP) di ibu negara, hari ini.
Majlis yang turut dihadiri Pegerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah itu bertujuan meraikan keluarga dan anak-anak hasil rawatan kesuburan di lembaga itu.
Nancy berkata antara rawatan yang ditawarkan di klinik fertiliti LPPKN termasuk timed intercourse, intrauterine insemination (IUI), Gamete intra-fallopian transfer (GIFT), In-vitro Fertilisation (IVF) dan Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).
Beliau berkata kos rawatan juga berpatutan iaitu sekitar RM1,000 sehingga RM15,000 mengikut kaedah rawatan, malah LPPKN juga menyediakan Program Bantuan Subsidi IUI pada 2020 hingga 2023 kepada pasangan tidak pernah hamil, mengikut terma dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Selain itu, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh mengeluarkan wang caruman daripada Akaun 2 untuk tujuan mendapatkan rawatan kesuburan.
“Selain rawatan, penting juga advokasi terutama kepada golongan lelaki kerana mereka juga boleh menyumbang kepada ketidakkehamilan atas faktor kesihatan..setiap pasangan perlu main peranan,” katanya.
Mengulas mengenai klinik FPP, Nancy berkata antara lain ia dilengkapi dengan doktor pakar dan teknologi terkini khusus bagi pasangan yang mempunyai kekangan masa untuk mendapatkan rawatan di fasiliti sedia ada.
Di Klinik Fertiliti LPPKN FPP itu katanya pasangan boleh memilih doktor pakar dan masa yang sesuai dengan jadual kerja untuk menjalani perkhidmatan subfertiliti.
-- BERNAMA