JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Indonesia Ditahan Ketika Cuba Bawa Keluar Lebih 12kg Dadah Melalui Perairan Pulau Pinang

02/12/2024 03:20 PM

BALIK PULAU, 2 Dis (Bernama) -- Cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa keluar lebih 12 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM217,424 melalui jalan laut gagal apabila dia dicekup polis, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata suspek berumur 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hasil maklumat dan risikan.

Beliau berkata suspek ditahan di sebuah jeti di Teluk Bahang bersama beg mengandungi dadah jenis syabu, ganja dan MDMA ketika hendak menaiki bot dipercayai untuk pulang ke Indonesia.

“Pemeriksaan ke atas beg berkenaan membawa kepada penemuan enam ketulan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 6.5 kg bernilai RM20,150, enam bungkusan disyaki syabu 6.1kg bernilai RM195,200 dan dua paket dadah disyaki MDMA dianggarkan seberat 34 gram bernilai RM2,074.

“Hasil risikan mendapati suspek baru bergiat aktif dengan aktiviti pengedaran dadah ini untuk pasaran luar negara melalui perairan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di IPD Barat Daya di sini, hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek pertama kali masuk ke negara ini pada 28 Sept lepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sazalee berkata suspek dikatakan telah membayar RM3,000 kepada pemandu bot untuk membawanya ke perairan sempadan negara, dan dipercayai menerima upah RM2,800 bagi sekilo dadah yang dibawanya.

Beliau berkata suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy