Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin
IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan terpaksa berputih mata apabila lima kereta mewah miliknya rosak selepas ditenggelami air setinggi lebih satu meter dalam kejadian banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini semalam.
Datuk Amaluddin Mohamed Ismail, 63, berkata beliau tidak sempat menyelamatkan kenderaan berkenaan ekoran air naik begitu cepat bermula sekitar 10.30 pagi.
“Pada awalnya, kami sekeluarga tak berapa risau sebab sejak 28 tahun duduk sini, banjir memang kerap berlaku tetapi air naik hanya pada paras lutut sahaja.
“Kali ini tak sempat buat apa-apa kerana air naik begitu cepat. Pada 10.30 pagi saya tinjau di luar rumah, paras air hanya setakat buku lali tetapi sejam selepas itu air naik mendadak melebihi satu meter,” katanya ketika ditemui dikediamannya di sini hari ini.
Semalam, ratusan penduduk terjejas teruk akibat banjir yang berpunca daripada hujan berterusan mengakibatkan limpahan air Sungai Kinta mengalir masuk ke kawasan perumahan itu.
Susulan kejadian itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata punca banjir berkenaan akan diteliti dan langkah penyelesaian bakal diambil bagi memastikan kejadian yang disifatkan terburuk pernah berlaku sejak 30 tahun itu tidak berulang.
Sementara itu, Amaluddin berkata pelbagai peralatan dan perabot turut mengalami kerosakan.
“Televisyen, sofa, mesin basuh, pakaian dan peralatan kegunaan harian banyak yang rosak. Ada antaranya (peralatan) tak boleh dibaiki dan terpaksa dibuang,” katanya.
Beliau berkata kerjasama daripada pelbagai pihak, khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) amat diharapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Seorang lagi penduduk Muhammad Noor Azwan, 34, berkata meskipun berdepan kerugian lebih RM50,000 namun bersyukur kerana tiada kemalangan atau kecederaan menimpa lapan ahli keluarga termasuk dirinya.
“Empat buah motosikal, barangan elektrik, perabot dan peralatan untuk kegunaan harian semuanya habis rosak dan tak dapat diselamatkan.
“Ikutkan memang banyak kerugian yang terpaksa ditanggung namun saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan kami ditempatkan semalaman di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Dato' Azumu Tak, Kampung Kepayang Masjid,” katanya.
A. Subramaniam, 65, pula berkata dia menjangkakan tiga atau empat hari untuk melakukan proses pembersihan bagi menghilangkan kesan lumpur yang menjejaskan kawasan dan peralatan rumah.
“Memang agak susah untuk hilangkan kesan lumpur yang agak tebal ini. Bukan hanya kawasan rumah malah perabot, barangan elektrik dan peralatan lain di rumah ini juga banyak yang rosak terkena lumpur.
“Cuma beban kami agak ringan sedikit kerana agensi yang terlibat banyak membantu kami sekeluarga dan penduduk lain di taman ini dalam operasi pemindahan ke PPS serta membersihkan laluan berlumpur di kawasan ini,” katanya.
-- BERNAMA