KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Blok ASEAN perlu terus bersatu, bebas dan mengambil pendekatan berkecuali bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan kuat.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dalam keadaan geopolitik dan ekonomi dunia yang berubah-ubah selain ancaman tradisional dan bukan tradisional ketika ini, semua negara ASEAN memerlukan kebergantungan terhadap satu sama lain.
“Kita kena pastikan ASEAN ini berjaya. Tiada gunanya Malaysia sahaja berjaya tetapi negara kelilingnya kacau bilau. Kita tidak boleh duduk berseorangan dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain, sebab itu tema kita sempena Kepengerusian ASEAN 2025 'Keterangkuman dan Kemampanan’.
“...kita mesti mempunyai satu benteng negara blok atau rantau Asia Tenggara yang kuat. Jika kuat ASEAN itu, Malaysia peroleh manfaat, negara lain pun dapat faedah,” katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai harapan dan objektif ingin dicapai Malaysia apabila mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Mohamad berkata ASEAN juga perlu terus berpandukan kepada soft power diplomacy dan middle state untuk kekal dilihat sebagai blok yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak.
Mengambil contoh isu Laut China Selatan, Mohamad berkata setiap pihak perlu memastikan perairan itu kekal aman, dengan sebarang tindakan mahupun keputusan berkaitan tidak boleh berpandukan kepada pendekatan satu negara sebaliknya mengguna pakai pendekatan ASEAN memandangkan ia melibatkan kepentingan bersama.
Mengenai kesediaan Malaysia menjayakan Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan depan, Mohamad berkata ketika ini persiapan melibatkan dua faktor utama iaitu logistik dan substantif.
“Logistik itu perlu dilakukan pada tahap terbaik, bermula daripada ketibaan tetamu iaitu pemimpin negara ASEAN, sahabat ASEAN dan rakan dialog dari lapangan terbang. Berjaya atau tak kepengerusian kita nanti bergantung kepada penyelarasan logistik yang baik.
“Jadi, kita sudah selaraskan semua di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara dan semua agensi bergabung, faham tugas masing-masing,” katanya.
Dari aspek substantif, Mohamad berkata ia melibatkan matlamat ingin dicapai oleh Malaysia selaku negara Pengerusi berasaskan kepada tema yang telah dipilih.
-- BERNAMA