AM

Perak Rekod 7.41 Juta Pelancong Setakat Suku Ketiga 2024 - Exco

03/12/2024 02:37 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Perak merekodkan 7.41 juta pelancong yang berkunjung ke negeri ini setakat suku ketiga tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Beliau berkata angka itu berdasarkan data tidak rasmi daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operator pelancongan di seluruh negeri ini.

“Kaji Selidik Tetamu Hotel yang melibatkan pensampelan 40 hotel berdaftar dengan Tourism Malaysia menunjukkan 609,249 pelancong antarabangsa telah berkunjung dan bermalam di negeri ini dalam tempoh berkenaan, melepasi sasaran 350,000 pelancong antarabangsa untuk Tahun Melawat Perak 2024,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) berkenaan prestasi sektor pelancongan pada tahun ini yang merupakan Tahun Melawat Perak 2024.

Loh berkata data Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan 104,861 pelancong antarabangsa memasuki negeri itu menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Pengkalan Hulu setakat September, dengan 92,099 dari Thailand, diikuti Singapura (5,347), China (2,020), Indonesia (1,231) dan Vietnam (1,111).

“Dalam tempoh sama, pelancong antarabangsa yang tiba melalui Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh adalah sebanyak 63,974 orang dengan 52,025 dari Singapura, diikuti Australia (1,806), China (1,651) dan India (1,279),” katanya.

Loh berkata perkembangan positif ini memberi keyakinan sasaran lapan juta pelancong domestik menjelang akhir 2024 mampu dicapai, setelah sasaran 350,000 pelancong antarabangsa telah diperoleh yang sekali gus membuktikan keberkesanan strategi promosi dan usaha memperkasakan sektor pelancongan negeri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy