KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Malaysia selaku negara rakan BRICS, akan mengikuti rapat perkembangan berkaitan ancaman bakal Presiden Donald Trump mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara perkumpulan itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Laporan sebelum ini menyatakan pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu mengancam untuk mengenakan tarif ke atas negara-negara BRICS yang kini dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, jika perkumpulan itu menggantikan penggunaan dolar AS.
“Kita bukan negara anggota BRICS...kita hanya negara yang baru menjadi rakan BRICS. Bagaimanapun, kita akan terus memantau rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan, bukan saja kepada negara anggota BRICS.
“Malaysia, sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, adalah terbuka untuk perniagaan. Kita juga terbuka bagi tujuan perdagangan dan saya percaya kita juga perlu terlibat dengan semua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran detik penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata beliau sendiri percaya penyertaan Malaysia dalam platform perdagangan pelbagai hala adalah penting untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi selain mengekalkan kemakmuran dan kestabilan.
“Kita percayakan platform pelbagai hala yang wujud hari ini di banyak negara, termasuk CPTPP. Kita juga gembira bahawa UK yang juga salah satu daripada negara-negara Kumpulan Tujuh (G7), turut menyertai CPTPP,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia David Wallace berkata ketika segelintir negara menyatakan hasrat untuk menaikkan tarif, UK sebaliknya berusaha untuk mengurangkannya dengan menyertai CPTPP.
UK dijadual menyertai CPTPP pada 15 Dis, 2024.
-- BERNAMA