BEIJING, 2 Dis (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping pada Isnin menyeru agar mengukuhkan keyakinan dari segi strategi serta bertindak berani memikul tanggungjawab untuk mewujudkan masa depan yang lebih cerah dalam pembinaan bersama di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Xi menyatakan bahawa peluang dan cabaran terwujud pada masa yang sama dalam menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi di bawah kerangka BRI di sebalik situasi dunia pasca normal yang diselubungi kekalutan.
“Pelaksanaan BRI yang menekankan pembinaan bersama telah memasuki satu fasa baharu yang sinonim dengan pembangunan berkualiti tinggi.
“Pelbagai pihak perlu untuk melaksanakan secara komprehensif dan tepat konsep pembangunan baharu, mempercepatkan pembentukan Paradigma Pembangunan Baharu, berpegang kepada prinsip dan panduan ‘berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi’ yang bersifat terbuka, hijau, bersih, mampan, berspesifikasi tinggi dan berpaksikan rakyat.
“Selain itu, perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan projek mega yang ikonik dengan projek kecil-kecilan yang berkaitan dengan hidup rakyat,” kata beliau ketika berucap pada simposium keempat mengenai gerak kerja pembinaan BRI di sini.
Xi juga menekankan peri pentingnya untuk memperhebat pembinaan mekanisme yang berkualiti tinggi dalam kerangka BRI dan menambah baik mekanisme perancangan, penyelarasan dan pengurusan dalam kerjasama berkenaan.
“Hendaklah memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan melalui pembinaan bersama yang berkualiti tinggi di bawah BRI ,” kata Xi.
-- BERNAMA-CMG