DUNIA

Menteri Luar Seru Strategi Adaptif hadapi Ancaman Keselamatan Baharu 

03/12/2024 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kepentingan rantau Asia-Pasifik dalam menyesuaikan strategi bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu susulan landskap geopolitik yang terus berubah di tengah-tengah ketidakpastian yang semakin meningkat. 

Berucap pada 14th General Conference of the Council for Security Cooperation in the Asia-Pacific (CSCAP) di sini pada Selasa, Mohamad menggariskan kerumitan cabaran keselamatan serantau yang semakin meningkat, dipengaruhi oleh tekanan dalaman dan luaran. 

Isu-isu ini termasuk kebangkitan nasionalisme, ketegangan wilayah, serta ancaman tradisional dan baharu seperti perang siber, keganasan dan risiko keselamatan akibat perubahan iklim yang menyumbang kepada dinamik ketidakpastian serantau. 

“Kita tidak terkecuali daripada cabaran dunia, dan kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati,” katanya sambil menyeru langkah proaktif bagi mengurangkan risiko dan menangani cabaran keselamatan bersama melalui strategi kolaboratif. 

Menteri itu mencadangkan beberapa strategi kerjasama termasuk memperkukuh rangka kerja pertahanan serantau, membangunkan mekanisme penyelesaian konflik dan meningkatkan kerjasama keselamatan maritim. 

“Memandangkan kerumitan geopolitik di rantau kita, adalah penting untuk mewujudkan atau memperkukuhkan forum khusus bagi penyelesaian konflik secara aman,” katanya. 

Ia mungkin termasuk penambahbaikan platform sedia ada seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), malah tidak menolak kemungkinan mewujudkan saluran khusus untuk menggalakkan penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian maritim dan konflik sumber. 

Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan maritim di Asia-Pasifik, yang merupakan laluan perdagangan maritim paling sibuk dan penting di dunia, di samping menyeru kerjasama lebih erat untuk meningkatkan keselamatan serta mencegah salah faham. 

“Melalui rondaan bersama yang kerap, usaha pemantauan yang diselaraskan dan protokol bersama dalam interaksi maritim, negara-negara dapat melindungi laluan perdagangan sambil mengurangkan risiko konflik di kawasan pertikaian,” katanya. 

CSCAP, yang merupakan mekanisme tidak formal untuk dialog dan cadangan dasar mengenai isu politik dan keselamatan serantau, terus memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama antara cendekiawan, pegawai dan pihak berkepentingan lain.

Persidangan CSCAP ke-14 ini dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia. 

Beliau trut memuji peranan CSCAP dalam mempromosikan diplomasi pencegahan di Forum Serantau ASEAN (ARF). 

“Anda telah membantu membentuk rangka kerja diplomasi pencegahan ARF. Kajian dan cadangan anda menyediakan garis panduan praktikal yang penting untuk dialog keselamatan serantau kita,” katanya. 

Beliau menggesa agar ARF berkembang daripada platform dialog kepada peranan yang lebih aktif sebagai agen keamanan, selain mencadangkan kajian oleh CSCAP untuk meremajakan ARF.

“Pandangan anda akan membantu memperkukuh keupayaan ARF dan menambah baik proses membuat keputusan,” katanya sambil menambah bahawa cadangan CSCAP mengenai cara ARF boleh menyumbang dalam menangani krisis di Myanmar amat dialu-alukan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy