RENCANA

Perang Lawan Hiv/aids: Selepas "tewaskan" Jarum, Malaysia "berdepan" Transmisi Seksual

04/12/2024 01:17 PM
Daripada Nina Muslim

Suasana di tanah perkuburan utama di Gombak dekat sini begitu kelam dengan awan hitam di dada langit menunggu masa untuk memuntahkan beban yang dibawa.

Di situ, kelihatan beberapa deretan kubur yang terabai, dengan rata-rata batu nisannya yang pada satu ketika dahulu berwarna putih, kini kusam dimamah elemen alam. Malah, ada antara kubur-kubur tersebut hampir “lenyap” ditelan bumi jika tidak kerana batu-batu penanda berkenaan.

Kebanyakan kubur tersebut merupakan “rumah terakhir” pesakit-pesakit AIDS terawal di Malaysia, kata Along, jurupandu daripada PT Foundation (PTF), sebuah kumpulan kesihatan komuniti HIV/AIDS.

AIDS merupakan peringkat akhir jangkitan HIV (human immunodeficiency virus), iaitu apabila sistem imun tubuh telah mengalami kerosakan teruk akibat virus itu.

“PTF dulu, kalau dapat kes (kematian akibat) HIV daripada HKL (Hospital Kuala Lumpur) … kalau kami tak dapat jumpa ahli keluarga ataupun waris tidak mahu tuntut (jenazah), kita (kebumikan mereka di sini),” kata lelaki berusia 44 tahun itu kepada Bernama.

Kubur-kubur yang terabai dan dilupakan itu adalah antara tinggalan hari-hari terawal HIV/AIDS menjengah negara ini, ketika tidak ramai yang tahu tentang penyakit tersebut dan bagaimana ia berjangkit. 


Most of these graves are the final resting places of Malaysia’s earliest AIDS patients who had been disowned by their families, according to “Along”, the 44-year-old guide from PT Foundation (PTF), an HIV/AIDS community health group. --Nina Muslim/BERNAMA

Menurut pakar, rata-rata ahli masyarakat menggelarkan HIV/AIDS sebagai “penyakit golongan gay” kerana mereka tidak tahu bahawa penyakit itu berjangkit menerusi darah dan lain-lain cecair badan, bukan hanya melalui hubungan seks, dan setiap orang terdedah kepada penyakit berkenaan.

Selama kira-kira dua dekad, penyakit itu menular pantas dengan kebanyakan jangkitan berpunca daripada penyalahgunaan dadah. Sekalipun ada kempen kesedaran dan gesaan jauhi dadah, trend jangkitan semakin meningkat. Keadaan mula berubah apabila pada 2005, aktivis, pihak berkuasa kesihatan serta penggubal dasar menongkah arus tradisi dan memberikan jarum suntikan bersih serta peluang kedua kepada penagih.

  

SEJARAH HIV DI NEGARA INI

Malaysia merekodkan kes pertama HIV pada 1986. Ketika itu, tidak seperti di kebanyakan negara lain yang menyaksikan jangkitan menerusi hubungan seks dan pemindahan darah, di Malaysia penularan HIV berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dadah.

Tiga tahun selepas kes pertama dikesan, perkongsian jarum suntikan dadah menyumbang 76 peratus kepada kes HIV, iaitu sebanyak 750 kes. Menjelang 2002, suntikan dadah merangkumi 74.2 peratus daripada keseluruhan kes HIV yang dilaporkan di Malaysia.


Palani Narayanan, Director of Drug Policy at the Malaysian AIDS Council. Supplied photo.

“Perkongsian jarum suntikan dadah merupakan cara paling berkesan untuk menyebarkan HIV, kerana darah daripada seorang individu terus memasuki salur darah individu lain,” kata Palani Narayanan, Pengarah Program Dasar Dadah Majlis AIDS Malaysia.

Beliau yang merupakan antara pejuang dan aktivis kesihatan dalam program outreach dan pencegahan HIV/AIDS selama bertahun-tahun sejak 1986, bercerita kepada Bernama tentang lokasi penagih dadah di tengah-tengah Kuala Lumpur serta pekerja seks pada waktu itu.

Penyakit baharu yang tidak ada penawar ini menepati kriteria isu-isu tabu dalam masyarakat Malaysia, iaitu penagihan dadah dan seks. Terletak di laluan penyeludupan dadah di Asia Tenggara, undang-undang negara ini berkaitan bahan terlarang itu amat ketat dan keras. Dasar bagi mengurangkan kemudaratan tidak wujud dan pemikiran pada ketika itu ialah penyalahgunaan dadah satu jenayah dengan pendekatan “jauhi dadah atau tiada maaf bagimu”. 

Aktivis hanya mampu mengedarkan risalah tentang HIV/AIDS serta kondom kepada pekerja seks dan mereka yang lalu-lalang di kawasan berkenaan, kerana tidak banyak yang dapat dilakukan mereka berhubung punca penularan HIV pada ketika itu, iaitu jarum suntikan yang kotor dan tercemar. 

Mereka teragak-agak untuk mengagihkan jarum bersih kerana tindakan itu mungkin dianggap satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, hal ini tidak menghalang aktivis daripada menggesa penggubalan dasar pengurangan kemudaratan. Malangnya, usaha mereka ditentang selain dituduh membantu penagih.

Dalam keadaan sedemikian, Pemangku Ketua Pegawai Operasi PTF Raymond Tai  berkata mereka cuba mengajar penagih mensterilkan picagari dan jarum suntikan menggunakan air serta bahan  peluntur.

“Celup picagari, tarik dan sedut cairan peluntur, kemudian tolak keluar. Ulang beberapa kali. Akan tetapi, langkah ini bukanlah sesuatu yang praktikal untuk dilakukan apabila anda berada di jalanan,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di Pusat Penjagaan Kesihatan Komuniti (CHCC) Sentul. 

Akibatnya, kes terus meningkat. Ramai yang terbiar begitu sahaja menunggu mati di tepi jalan, dan pada ketika inilah PTF akan dihubungi  bagi mengambil dan menghantar mereka ke hospital.

“Ada beberapa kes orang yang hubungi kami datang dan beritahu, ada seorang lelaki tidak sedarkan diri di lorong belakang. Apabila kami ke sana, orang itu sudahpun meninggal dunia,” tambahnya.

Sedih mengenangkan era itu, Tai berkata ramai kawannya meninggal dunia kerana penyakit tersebut.


A raid on drug addicts at Lorong Haji Taib in April 2002. Prior to the needle syringe exchange program (NSEP) in 2005, there was very little activists and health workers could do to prevent the spread of HIV via injections. Filepic. --fotoBERNAMA (2024) COPYRIGHT RESERVED

Pada September 2004, setahun sebelum program pertukaran jarum suntikan dan picagari terpakai (NSEP) dijalankan secara rasmi, jumlah kes HIV meningkat kepada  61,486 dengan 8,955 kes AIDS. Angka kematian akibat AIDS pula sebanyak 6,665 kes. Lebih parah lagi, kes HIV akibat transmisi seksual juga meningkat, dengan lebih ramai wanita dijangkiti virus itu menerusi pasangan mereka.

Dalam editorial Medical Journal of Malaysia pada 2005, Pengerusi Yayasan  AIDS Malaysia Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman menulis bahawa kajian melibatkan lebih 6,000 pelatih  di 26 Pusat Serenti (kini Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik)  di seluruh negara, mendapati lebih separuh, termasuk mereka yang tahu status HIV, mengakui mengadakan hubungan seks dengan orang selain pasangan masing-masing atau dengan pekerja seks. 

Tulis beliau, kadar penggunaan kondom dalam kalangan responden “sangat rendah”.

 

TITIK PERUBAHAN

Pakar kesihatan sedunia memuji  NSEP sebagai titik perubahan dalam trajektori HIV/AIDS di negara ini, berserta program metadon. Namun, pelaksanaan dasar pengurangan kemudaratan masih tiada kata putus, sehinggalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan penilaian prestasi Malaysia berhubung Matlamat Pembangunan Milenium pada 2005.

Palani berkata Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri ketika itu dan Menteri Kesihatan Datuk Seri (sekarang Tan Sri) Dr Chua Soi Lek sedar Malaysia ketinggalan dari segi pengurusan HIV/AIDS. 

Pengurusan penyakit berjangkit merupakan penanda penting “kerana kadar kepantasan penyakit itu menular, impak pelbagai dimensinya serta cabaran yang dibawa oleh penyakit tersebut dalam pencegahan dan rawatan” mungkin menjejaskan pembangunan.

“Hanya ini sahaja sasaran Matlamat Pembangunan Milenium yang kita gagal capai. Pak Lah (Abdullah) dan Dr Chua putuskan kita mesti laksanakan program mengurangkan kemudaratan bagi menangani jangkitan HIV di Malaysia,” katanya.

Dibantu oleh pegawai Kementerian Kesihatan dan Majlis AIDS Malaysia serta Dr Anita Suleiman dan Dr Adeeba antaranya, Palani menggubal NSEP bagi menurunkan kadar jangkitan HIV. Turut diperkenalkan program metadon untuk membantu penagih heroin mengurus dan mengawal ketagihan mereka.


Malaysian AIDS Foundation Chair Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman. Filepic. --fotoBERNAMA (2024) COPYRIGHT RESERVED

Dasar yang terhasil kata Palani, boleh dijadikan contoh oleh negara yang mempunyai penduduk majoriti Muslim.

Tai pula berkata program metadon melengkapi proses pemulihan.

“Buat pertama kali, penagih dapat kekal waras dan menjalani kehidupan normal serta produktif. Hasilnya, mereka dapat bekerja, tidak kira kerja apa, asalkan bekerja dan mampu menyara diri sendiri. Sudah tentulah kesemua ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup. Jadi, semua ini merupakan titik perubahan,” katanya.

Meskipun begitu, pelaksanaan program itu ditangguh selama setahun selepas menerima bantahan. Majlis AIDS Malaysia dan kerajaan pusat kemudian menggunakan khidmat ulama untuk mendidik masyarakat tentang HIV/AIDS dan kepentingan pencegahan dalam Islam.

Pada 2010, Kementerian Kesihatan melaporkan NSEP berjaya menurunkan angka purata kes baharu harian HIV daripada 17 kes pada 2005 kepada 10 kes pada 2009. Peratusan kes baharu HIV pada 2008 berkurangan kepada 57 peratus berbanding 70 peratus pada 2005.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan lebih banyak penambahbaikan. Rawatan HIV/AIDS seperti terapi antiretroviral (ART) dan pre-exposure prophylaxis (PReP) semakin murah dan lebih mudah diakses.

Di Malam Gala Reben Merah pada Sabtu lalu bersempena dengan Hari AIDS Sedunia, Menteri Kesihatan  Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes HIV dalam kalangan penagih dadah secara suntikan berkurangan dengan amat ketara daripada 4,038 kes pada 2005 kepada 87 pada 2023.

Beliau juga berkata  saiz populasi mereka yang menyuntik dadah juga telah mengecil sebanyak 65 peratus daripada 170,000 orang pada 2009  kepada 60,000 pada 2022.

Pelaksanaan NSEP dan program metadon menyaksikan perkongsian jarum suntikan dadah bukan lagi penyebab utama HIV/AIDS di Malaysia. Status itu diambil alih oleh transmisi seksual yang merekodkan 96 peratus daripada keseluruhan kes setakat 2021, berbanding jangkitan melalui perkongsian jarum oleh penagih pada tiga peratus. 

Majlis AIDS Malaysia menjangka fasa seterusnya epidemik akan bertumpu dalam kalangan mereka yang mengamalkan tingkah laku berisiko seperti pekerja seks dan seks sesama lelaki (MSM), berkemungkinan dipacu oleh amfetamina. 

Situasi ini membawa komplikasi baharu bagi Malaysia.


Raymond Tai, Acting Chief Operations Officer at PT Foundation, with a doctor at the Community Health Care Clinic (CHCC) in Sentul. --fotoBERNAMA (2024) COPYRIGHT RESERVED

 

DAPATKAH PENULARAN AIDS DI MALAYSIA DIAKHIRI?

Malaysia menyasarkan untuk menamatkan penularan AIDS menjelang 2030 dengan 95 peratus daripada populasi utama menjalani ujian HIV dan tahu keputusan mereka, 95 peratus rakyat yang didiagnosis HIV positif menerima ART serta 95 peratus yang mengambil ART mencapai perencatan virus.

Akan tetapi, melihat pada angka terkini, mustahil untuk mencapai sasaran itu.

Negara sudahpun terlepas sasaran 2020 yang menetapkan 90-90-90. Setakat 2022, 81 peratus rakyat yang hidup dengan HIV tahu status mereka, dan daripada jumlah itu, sebanyak 68 peratus mengambil ART dan 87 peratus daripada mereka yang mengambil ART merekodkan perencatan virus.

Pakar meletakkan stigma, tabu terhadap seks dan dadah serta kekurangan kesedaran tentang HIV/AIDS dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai kekangan utama. Kebanyakan mereka yang akan mendapat manfaat daripada pencegahan dan intervensi seperti MSM, transgender dan pekerja seks, telah “bersembunyi” kerana takut rahsia mereka diketahui umum. Yang lain pula hidup dalam penafian atau tidak sedar akan risiko yang dihadapi mereka.

Tai yang melihat Malaysia sedang menuju hari pembalasan, berkata bagi menangani penyakit itu dengan betul, negara perlu menyelesaikan topik tabu secara langsung.

“Satu daripada cabaran terbesar hingga ke hari ini ialah, WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan UNAIDS, sentiasa mengesyorkan perkara pertama yang dilakukan untuk menjalankan sebarang kempen HIV adalah dengan mewujudkan persekitaran bersesuaian, kerana tanpa persekitaran sedemikian, kita tidak boleh melaksanakan intervensi yang mahu dilakukan,” katanya. 

Namun, masih ada harapan. 

Beliau berkata teknologi Internet dan media sosial telah menjadi ejen perubahan, namun teknologi itu juga boleh menghalang usaha memerangi HIV/AIDS. 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy