EKONOMI

DSR Taiko Tingkatkan Industri Durian Malaysia Dengan Pensijilan, Kualiti

04/12/2024 01:07 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- DSR Taiko Bhd, peneraju industri durian di Malaysia dalam kedudukan strategik untuk memperluas operasi globalnya dengan memberi tumpuan kepada produk bernilai tambah untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat.

Baru-baru ini syarikat itu meraih pencapaian penting apabila menerima pensijilan Standard Malaysia (MS) bagi durian Musang King dan produk hilirannya.

Inovasi ini dimanfaatkan dalam Sistem Pengesanan Bersepadu Musang King (MKITS®️), sistem kebolehkesanan yang diperakui bagi keperluan Standard Musang King untuk memastikan keselamatan pengguna.

Pensijilan ini menekankan komitmen DSR Taiko untuk melaksanakan aspek yang dinamakan sebagai “Origin Matters,” yang menawarkan produk durian asli berkualiti tinggi kepada pengguna di seluruh dunia.

"Sebagai syarikat pertama yang memperoleh sijil MS untuk durian, kami berbangga untuk memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka kini boleh menikmati produk durian Musang King yang asli dengan lokasi asal yang disahkan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ng Lian Poh.

Beliau turut menegaskan bahawa banyak pesaing mendakwa menawarkan produk Musang King asli, bagaimanapun produk mereka mungkin mengandungi varieti durian lain, yang berkemungkinan mengelirukan pengguna.

"Perjalanan 'Durian Sudah Runtuh' (DSR) dalam meraih pensijilan ini, yang diberikan oleh SIRIM QAS International, memerlukan tempoh dan pelaburan yang penting. Kami mahu memastikan pembeli yakin dengan keaslian dan kualiti produk Musang King kami," katanya kepada Bernama.

DSR Taiko selaku penaja korporat akan menyertai Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS 2024) yang dijadualkan bermula pada 17 hingga 19 Disember di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

 

Legasi Kecemerlangan dalam Perniagaan Tani Durian 

Ditubuhkan pada 2017, DSR Taiko merupakan pengeluar durian bersepadu yang mengkhusus dalam keseluruhan rantaian nilai perniagaan tani.

Bermula dengan penanaman dan pembiakan sehingga kepada peruncitan dan pengeluaran, syarikat ini telah memantapkan reputasi sebagai peneraju dalam industri durian.

“Ladang kami meliputi kira-kira 46 hektar di kawasan tanah tinggi Pahang khususnya di Raub dan Bentong. Lebih 70 peratus pokok durian kami berusia lebih 25 tahun, menghasilkan kualiti dan rasa luar biasa yang sinonim dengan Musang King," kata Ng.

Bagi mengekalkan pertumbuhan, beliau berkata kumpulan itu sedang giat mengenal pasti ladang durian matang di Raub dan Bentong untuk memperluas simpanan tanahnya.

Dari segi pengeluaran, syarikat itu telah membangunkan pelbagai jenis produk berasaskan durian, termasuk D.MasKing Musang King Gelato yang diminati ramai.

Ng berkata gelato yang baru-baru ini merangkul Pingat Emas bagi Inovasi Makanan dan Minuman (F&B) di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2024 di Nanning, China berikutan mempunyai kriteria baharu, unik dan enak, membuktikan potensinya dalam pasaran China, yang menyaksikan permintaan terhadap produk durian premium akan terus berkembang.

 

Pacu Pengembangan Global

Beliau berkata China kekal sebagai pasaran eksport terbesar DSR Taiko, memberikan sumbangan ketara kepada perolehan syarikat itu pada tahun lepas berjumlah RM18 juta.

Ng turut optimis mengenai pertumbuhan masa depan berikutan permintaan kukuh dan kempen pemasaran yang berkesan yang menyasarkan pengguna China.

“Strategi kami adalah untuk memanfaatkan selera rakyat China untuk Musang King yang dikenali dengan rasa unik dan tarikan premium. Dengan pensijilan dan promosi, kami yakin dapat memacu pertumbuhan perolehan yang besar,” katanya.

Selain China, DSR Taiko telah menembusi pasaran Australia, Amerika Syarikat dan Eropah, memperkenalkan produk inovatif seperti pizza Musang King untuk memenuhi cita rasa barat.

 

Pameran Akan Datang di MCS 2024

Melangkah ke hadapan, Ng berkata DSR Taiko sedang bersiap sedia untuk MCS 2024 justeru menyifatkannya sebagai platform yang tiada tandingan dan acara yang disusun rapi bagi menarik pelawat perdagangan antarabangsa.

MCS 2024 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta mendapat sokongan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bersempena memperingati 50 tahun hubungan diplomatik dan perdagangan antara Malaysia dan China, MCS 2024 akan memberi peluang kepada DSR Taiko untuk mengetengahkan potensi ‘raja buah’ Malaysia itu kepada audiens global.

Pengunjung pada sidang kemuncak berkenaan boleh mencuba beberapa produk Musang King termasuk gelato yang memenangi anugerah.

Dengan memanfaatkan pencapaian, pensijilan dan penyertaannya dalam acara perdana seperti MCS 2024, Ng berkata DSR Taiko terus meletakkan kedudukan sebagai peneraju dalam memacu industri durian Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy