AM

MUO Lonjak Bidang Perancangan Bandar - Nga

04/12/2024 02:57 PM

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Malaysia Urban Observatory (MUO) Analytics Centre - platform pemantauan menggunakan data yang menyokong pendekatan perancangan berasaskan bukti diperkenalkan hari ini bagi melonjakkan bidang perancangan bandar berasaskan data raya dan analitik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengenalan MUO membuktikan komitmen kementerian untuk menambah nilai perancangan dan tadbir urus pembangunan dan operasi bandar melalui data raya perancangan yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

 MUO ialah platform pemantauan menggunakan data yang menyokong pendekatan perancangan berasaskan bukti.

“Ia menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Big Data untuk mengintegrasikan pelbagai platform data raya bagi merangka penyelesaian yang tepat, cepat dan komprehensif dalam merancang pembangunan bandar,” katanya ketika berucap pada majlis MUO Analytics Centre di sini hari ini.

Beliau berkata sistem berkenaan telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual yang ditetapkan dan fokus pada 2025 akan tertumpu kepada pemurnian dan pengujian sistem dan kemas kini data bagi memastikan operasi berjalan lancar dengan kemasukan data tepat serta terkini.

Sistem berkenaan merangkumi 10 modul utama dan 72 submodul dengan infrastruktur data disokong oleh Pusat Data Sektor Awam, Jabatan Digital Negara.

Setakat ini, 34 agensi kerajaan dan swasta telah bekerjasama dalam perkongsian data termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Bahagian Perancangan Perumahan KPKT dan lain-lain agensi.

“Sistem ini memiliki lebih daripada 200 jenis data pelbagai format dan telah menghasilkan 80 papan pemuka analitik. Daripada jumlah ini, 25 peratus adalah bersifat analisis bernilai tinggi melibatkan analitik prediktif dan preskriptif yang sudah tentu akan membantu aktiviti perancangan dan urus tadbir bandar menjadi lebih tepat dan proaktif.

“Ini bermakna setiap keputusan perancangan kini dapat dibuat berdasarkan analitik yang teliti dan maklumat tepat, yang akhirnya akan mempercepatkan penyelesaian isu-isu bandar dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Nga berkata kementeriannya melalui PLANMalaysia telah menggubal Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac 2025.

“Kementerian juga bercadang membuat pindaan terhadap RUU Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172) di Parlimen pada tahun depan bagi memperkemas dan memperkasa proses perancangan dan pembangunan bandar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy