ALOR SETAR, 4 Dis (Bernama) -- Seorang jururunding bebas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM499,986.30 pada 2022 dan 2023.
Ahmad Syaradhi Mohd Nor, 51, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hermamalini.
Mengikut pertuduhan pertama, jururunding yang juga pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan wang berjumlah RM315,500 untuk keperluan peribadi melalui akaun Maybank atas nama syarikat Jaring Pelangi Trading milik isterinya.
Wang itu diamanahkan kepadanya untuk membuat pembayaran balik pembiayaan pemfaktoran bagi syarikat MT Agrofood Industries Sdn Bhd, untuk diserahkan kepada syarikat Ikhtiar Factoring Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Bhd, Jalan Pandak Mayah, Kuah, Langkawi antara 1 Nov 2022 dan 25 Julai 2023.
Bagi kesalahan itu Ahmad Syaradhi didakwa melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan ketujuh, dia didakwa menerima wang RM63,734, RM14,185 dan RM68,682.30 melalui akaunnya dan milik isterinya daripada akaun syarikat Jaring Pelangi Trading yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Sementara untuk pertuduhan keempat hingga keenam, Ahmad Syaradhi didakwa menggunakan RM7,900, RM14,185 dan RM15,800 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Bhd, Jalan Pandak Mayah, Kuah, Langkawi antara 3 Nov 2022 hingga 25 Julai 2023.
Bagi semua pertuduhan itu, dia dituduh di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pecah amanah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, sementara bagi pertuduhan di bawah AMLATFPUAA, tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 8 Jan 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noor Azura Zulkiflee, manakala Ahmad Syaradhi tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA