PASARAN

Bursa Malaysia Rendah Sedikit Pada Tengah Hari

05/12/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham produk perindustrian, perkhidmatan serta produk pengguna selain prestasi bercampur-campur daripada bursa serantau.

Pada 12.30 tengah hari, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.68 mata kepada 1,613.41 daripada 1,614.09 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka lebih tinggi 2.05 mata kepada 1,616.14 dan bergerak antara 1,610.77 hingga 1,617.78 sepanjang sesi pagi.

Sentimen pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 486 berbanding 453 manakala 507 kaunter tidak berubah, 1,010 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencapai 2.14 bilion unit bernilai RM1.37 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi semalaman Wall Street yang positif, didorong oleh keuntungan saham teknologi Amerika Syarikat ketika peniaga menjangka satu lagi pengurangan kadar faedah susulan data penggajian bukan perladangan ADP dan Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan yang lebih lemah, dijangka merangsang minat belian di pasaran tempatan.

“Kami menjangka sektor teknologi Bursa Malaysia disokong oleh peningkatan dolar AS dan prestasi kukuh daripada syarikat teknologi terpilih.

"Momentum optimis dalam kaunter berkaitan YTL menunjukkan minat belian selanjutnya dalam sektor utiliti, pembinaan dan bahan binaan," katanya dalam nota hari ini.

Kaunter wajaran tinggi seperti Maybank dan IHH masing-masing menokok dua sen kepada RM10.20 dan RM7.32 manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.52, Tenaga Nasional rendah dua sen kepada RM13.62 dan CIMB tidak berubah pada RM8.20.

Cropmate Bhd yang baru disenaraikan kekal sebagai kaunter aktif teratas yang meningkat satu sen kepada 21 sen dengan 184.51 juta saham diurus niaga.

Supermax mengukuh 10 sen kepada 98.5 sen, JCY International dan Bumi Armada masing-masing naik tiga sen kepada 51.5 sen dan 62.5 sen manakala Silver Ridge susut 14 sen kepada 50 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.48 mata kepada 12,318.11, Indeks FBMT 100 meningkat 3.39 mata kepada 12,004.07 dan Indeks FBM 70 melonjak 36.12 mata kepada 18,273.22.

Indeks FBM Emas Syariah susut 2.77 mata kepada 12,303.69 manakala Indeks FBM ACE rendah 48.25 mata kepada 5,217.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 18.27 mata kepada 19,151.98 manakala Indeks Perladangan mengukuh 11.08 mata kepada 7,758.14.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula susut 0.49 mata kepada 175.64 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.08 satu mata kepada 817.40.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy