KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham wajaran tinggi, didahului oleh produk dan perkhidmatan perindustrian serta sektor perkhidmatan kewangan.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.71 mata kepada 1,612.93 daripada 1,615.64 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 0.21 mata lebih tinggi kepada 1,615.85 dan bergerak antara 1,611.25 hingga 1,617.57 sepanjang sesi pagi.
Keseluruhan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 451 berbanding 411, manakala 504 kaunter tidak berubah, 1,110 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.89 bilion unit bernilai RM1.21 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd aktiviti pengambilan untung dijangka berlaku dalam bursa tempatan ekoran prestasi negatif di Wall Street dalam tempoh semalaman.
Bagaimanapun, firma pembrokeran itu yakin minat belian akan muncul dalam sektor utiliti, pembinaan dan bahan binaan, didorong oleh pelaburan pusat data dan perdagangan dipacu kecerdasan buatan (AI), yang memberi kesan positif kepada pendapatan masing-masing.
“Selain itu, kami memilih sektor teknologi memandangkan NationGate Holdings Bhd akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk menghasilkan pelayan AI.
“Selain itu, kami menjangkakan pembelian berterusan ke atas saham perladangan kerana kita memasuki musim pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah, yang dijangka menyokong harga,” tambahnya menerusi nota penyelidikan.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank, CIMB dan IHH masing-masing turun dua sen kepada RM10.20, RM8.17 dan RM7.31 manakala Public Bank kurang satu sen kepada RM4.56 dan Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.52.
Antara saham aktif, Supermax naik 7.5 sen kepada RM1.06, Top Glove menokok dua sen kepada RM1.27 dan WCT meningkat 4.5 sen kepada 93.5 sen. Sebaliknya, YNH Property merosot 11.5 sen kepada 59 sen dan Zen Tech kekal pada satu sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 4.02 mata kepada 12,324.17 dan Indeks FBMT 100 menguncup 6.79 mata kepada 12,007.49. Bagaimanapun, Indeks FBM 70 meningkat 38.40 mata kepada 18,303.94.
Indeks FBM Emas Syariah turun 13.02 mata kepada 12,291.08 namun, Indeks FBM ACE naik 11.88 mata kepada 5,256.64.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 28.23 mata kepada 19,164.79, Indeks Perladangan menguncup 17.50 mata kepada 7,760.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri kurang 0.34 mata kepada 174.98 namun, Indeks Tenaga menambah 6.86 mata kepada 827.42.
-- BERNAMA