AM

FAHMI FADZIL SAMPAI SUMBANGAN KEPADA 192 WARGA LEMBAH PANTAI

07/12/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan zakat wakallah berjumlah RM38,400 kepada 192 penerima yang terdiri daripada warga di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Penerima-penerima sumbangan zakat yang dikelolakan Yayasan Seri Negara dengan bantuan syarikat PBLT Sdn Bhd itu, terdiri daripada 100 anggota polis dan 92 orang awam.

Fahmi menyatakan rasa penghargaan dan mengalu-alukan sumbangan sedemikian yang secara tidak langsung selari dengan usaha-usahanya untuk menyelesaikan isu-isu dihadapi penduduk di kawasan itu.

"Usaha untuk memberi bantuan kepada 192 warga Lembah Pantai yang terdiri daripada 100 anggota polis dan 92 orang awam cukup saya hargai. Dan pada masa yang sama ini sebahagian daripada usaha berterusan daripada pihak saya untuk menyantuni, mengenal pasti isu-isu yang dihadapi dan untuk segera diselesaikan," katanya ketika diitemui selepas program tersebut.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mengumumkan sumbangan bantuan tambahan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Penduduk Perumahan Polis Desa Aman 1, di sini.

"Saya juga akan sediakan sistem siar raya yang baharu dan mungkin kita kena tengok isu penyaman udara (di dewan serba guna). Satu persatu kita akan teliti (kerana) kita mahukan yang terbaik untuk warga Polis Diraja Malaysia termasuk di Desa Aman 1.

"Memang sebelum ini saya ada bagi sumbangan, tapi kita bagi sumbangan tambahan. Selain itu kita akan teliti berkait surau di Desa Aman 1, beberapa perkara kita ingin tambah baik termasuk bumbungnya dan juga beberapa program yang akan mereka laksanakan," katanya.

Turut hadir pada program tersebut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dan Penaung Yayasan Seri Negara Tan Sri Mazlan Lazim.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy