JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN LABUAN GAGALKAN CUBAAN SELEWENG 500 LITER DIESEL BERSUBSIDI

09/12/2024 05:20 PM

 

LABUAN, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menggagalkan cubaan menyeleweng 500 liter diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 - Kita Gempur di sini Ahad lepas.

Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata diesel berkenaan ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran tempatan yang diperiksa di sebuah stesen minyak.

"Operasi pada 9.49 pagi itu telah menahan dan memeriksa kenderaan terbabit yang didapati mempunyai tangki besi tambahan pada struktur kenderaan.

"Pemeriksaan lanjut menemukan diesel berkenaan yang telah selesai diisi ke dalam tangki besi tambahan itu, dengan nilai keseluruhan sitaan RM16,075," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 51 tahun telah direkodkan keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan bekalan 1961.

Junaidah berkata operasi itu dijalankan hasil risikan selama seminggu selepas KPDN menerima aduan daripada orang awam berkaitan kegiatan itu.

"Kejayaan ini membuktikan maklumat orang awam sangat penting dalam membantu KPDN membanteras salah laku berkaitan barangan kawalan bersubsidi dan aktiviti penyelewengan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy