PETALING JAYA, 9 Dis (Bernama) -- Semua siasatan terhadap Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) masih diteruskan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata siasatan meliputi beberapa aspek termasuk perolehan dan pelaburan.
"Saya dimaklumkan hari ini bahawa terdapat berita dalam satu portal mengenai mesyuarat PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) yang melaporkan seorang pegawai dipetik (sebagai berkata) bahawa kes ini telah ditutup.
"Saya tidak tahu dari sudut mana pegawai ini memetik isu ini, tetapi kami telah membuka beberapa fail terhadap HRD Corp dan saya mengarahkan pegawai saya untuk memaklumkan kepada PAC bahawa mungkin pegawai terbabit merujuk kepada satu daripada fail itu.
"Fail masih dalam penyiasatan dan belum disemak oleh Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada pemberita selepas menutup sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan laporan berita yang antara lain menyatakan bahawa SPRM tidak mendapati sebarang salah laku atau pelanggaran di bawah Akta SPRM 2009 oleh HRD Corp, berdasarkan penemuan yang direkodkan oleh pegawai SPRM dalam laporan PAC.
Pada Julai, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 mendedahkan bahawa tindakan dan keputusan dibuat pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan gagal melindungi kepentingan dalam memenuhi fungsi teras syarikat itu.
PAC turut melaporkan bahawa RM3.77 bilion dalam kutipan levi daripada majikan digunakan oleh Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti yang tidak sejajar dengan objektif yang disasarkan agensi berkenaan.
Susulan laporan itu, SPRM mengerahkan penyiasatan ke pejabat HRD Corp untuk mengumpulkan dokumen sebagai sebahagian daripada siasatan.
-- BERNAMA