IPOH, 10 Dis (Bernama) -- Pemimpin badan sukan di Perak diingatkan agar menghentikan amalan politik persatuan sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pembangunan sukan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) hingga digantung enam bulan sebelum ini tidak seharusnya berlaku kerana sesebuah badan sukan bukan milik mana-mana individu.
"Kalau badan sukan sudah dipolitikkan maka hancurlah segalanya, jadi ia perlu merentas politik supaya semua dapat beri perhatian kepada bagaimana cara untuk mencari dan menggilap bakat baharu," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Pelancaran Liga Perak Sejahtera 2024/2025 di sini malam tadi.
Sementara itu, Saarani yakin barisan kepimpinan PAFA akan memberi fokus untuk membangunkan bola sepak Perak yang pernah menjadi antara pasukan digeruni dalam saingan liga Malaysia.
Pada 7 Mac 2022, PAFA digantung enam bulan oleh Pesuruhjaya Sukan berikutan isu kewujudan dua kumpulan yang masing-masing mendakwa sebagai jawatankuasa sah badan induk bola sepak Perak yang berusia lebih 100 tahun itu.
Kemelut itu mendapat campur tangan kerajaan negeri apabila Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi mencari penyelesaian dan pertimbangan agar PAFA tidak dibubar.
Pada Jun tahun lepas, Hannah membenarkan penangguhan pembubaran PAFA dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak menyelesaikan isu persatuan berkenaan mengikut Seksyen 21 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997.
Sementara itu, 14 pasukan Persatuan Bolasepak Daerah (PBD) akan bersaing di empat venue bagi menempah slot ke Pusingan Akhir Kejohanan Bola Sepak Liga Perak Sejahtera 2024/2025 yang bakal berlangsung di Stadium Mini Bunga Raya, Lenggong.
Liga itu dipertandingkan mengikut empat zon bagi mengurangkan kos pengurusan pasukan iaitu Pengkalan Hulu (Zon 1) Kerian (Zon 2) Batang Padang (Zon 3) dan Bagan Datuk (Zon 4).
PBD Gerik, Pengkalan Hulu dan Lenggong di Zon 1 manakala Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS) dan Persatuan Bolasepak Melayu Perak (Zon 2); Batang Padang, Kampar, Ipoh dan Muallim (Zon 3) dan di Zon 4 melibatkan Bagan Datuk, Manjung, Hilir Perak serta Kampung Gajah.
-- BERNAMA