GAYA HIDUP

Pengiktirafan Dan Kejayaan Insan Seni Malaysia 2024 

10/12/2024 02:30 PM

Oleh Nurhafizah Tan

 

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Bakal menginjak ke tahun baharu, industri hiburan negara juga sepanjang tahun ini tidak sepi daripada pelbagai episod suka duka , namun kemanisannya lebih dirasai dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima di dalam dan luar negara, sekali gus mengangkat industri hiburan negara ke tahap lebih tinggi.

Paling manis tentunya anugerah Biduanita Negara ketiga yang diberikan kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin setelah hampir dua dekad tiada penerimanya selepas dua bintang legenda, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Puan Sri  Saloma pada 1978.

Meskipun beberapa nama besar di pentas muzik tempatan turut kedengaran diberikan pertimbangan sebagai calon penerima Anugerah Biduan Negara 2024, rezeki berpihak kepada Siti yang telah mencipta legasi dalam industri muzik, sekali gus melayakkannya menerima anugerah berkenaan  di Majlis Anugerah Seni Negara pada 13 Nov lepas.

Semestinya penghargaan itu menjadi bukti dedikasi wanita ini yang melakar pencapaian begitu cemerlang dalam kerjaya seninya sejak menceburi industri hiburan pada 1995 dengan meraih lebih 300 anugerah di dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut. 

Tidak sekadar itu,  kemanisan 2024 ini juga semakin dirasai apabila tahun ini turut melabuhkan penantian hampir 15 tahun untuk menyaksikan pemilik Anugerah Seniman Negara kesembilan dinamakan selepas kali terakhir diberikan kepada  Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada 2009.

pic-2

Berkecimpung selama enam dekad dalam dunia komik, anak kelahiran Gopeng, Perak yang terkenal dengan karya Kampung Boy dan diterbitkan tidak hanya dalam negara tetapi juga serata dunia, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat,  diangkat sebagai Seniman Negara kesembilan.

Pastinya ini merupakan perkembangan positif industri hiburan negara yang hakikatnya, bergerak di landasan baik serta seimbang apabila seni perfileman dan lakonan juga tidak kurang hebatnya dengan pencapaian luar biasa kerancakan penerbitan drama dan filem selain diiktiraf di peringkat negara  serta antarabangsa. 

Filem Abang Adik misalnya, yang merupakan arahan Jin Ong, berjaya memenangi Filem Terbaik di 10th Asian World Film Festival di Los Angeles pada akhir November lepas, setelah merangkul lebih 19 anugerah antarabangsa tahun ini termasuk Festival Filem Asia New York dan Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.

Pengiktirafan itu membuktikan garapan filem anak tempatan kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan antarabangsa selain bakat lakonan negara turut diiktiraf  apabila bintang utamanya, Wu Kang-ren memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi kategori Feature Snow Leopard.

Menariknya, filem itu tidak sekadar berjaya menambat hati juri tetapi juga masyarakat dunia apabila mencatatkan kejayaan luar biasa di Taiwan dengan kutipan pecah panggung mencecah RM14.6 juta, China (RM2.2 juta), Hong Kong (RM1.55 juta), menjadikannya filem Malaysia pertama mencatatkan rekod tayangan tertinggi. 

Sementara filem tentang penipuan atau "scam" pertama Malaysia, Oppa turut melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Asia 2024 di Macau menerusi Anugerah Filem Malaysia Terbaik dan Pelakon Filem Bahasa Asing Terbaik.

Tahun ini juga melakar kenangan manis dalam portfolio pelakon Susan Lankester selepas memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 yang berlangsung di Singapura penangan lakonan cemerlangnya sebagai Aileen Choo dalam filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza. 

Pelakon berusia 62 tahun itu mengenepikan 10 pesaing termasuk dari New Zealand, Hong Kong , India dan Myanmar. 

Industri hiburan tanah air  turut menyaksikan seorang lagi bakat tempatan mengharumkan nama negara apabila pelakon Siti Saleha dinobatkan sebagai pemenang trofi Bintang Asia Terbaik pada majlis Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024, menerusi  lakonan hebatnya dalam drama SeOfis.

Bukannya calang-calang, wanita ini berjaya menyinkirkan lima lagi pesaing termasuk barisan pelakon Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Malah,  kecantikan pelakon berusia 34 tahun di karpet merah acara itu turut mencuri perhatian netizen negara kimchi sehingga tular di platform Naver. 

Momentum kegemilangan persada hiburan tanah air semakin menarik apabila pelakon kelahiran Malaysia yang menempa nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh diangkat sebagai penerima Pingat Kebebasan Presiden, penghormatan tertinggi Amerika Syarikat kepada individu yang banyak menyumbang dan berjasa kepada keselamatan, keamanan dunia, kebudayaan atau lain-lain usaha penting.

Biarpun begitu, calitan kontroversi dan episod duka tidak terkecuali daripada melakari industri seni tanah air apabila dikejutkan kisah penceraian selebriti terkenal seperti  Fazura dan Fattah Amin, Nora Danish dan Nedim Nazri, Alif Aziz dan Bella Astillah, Hisyam Hamid dan isteri, serta Syamsul Yusof dan Ira Kazar.

Selain itu, dunia hiburan turut berdukacita atas kehilangan bintang besar seperti Jaafar Onn, Jay Jay, Hail Amir dan Tan Sri Ahmad Nawab.

Pemergian mereka tiada galang ganti dan pastinya merupakan kehilangan besar buat industri seni tanah air.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy