GAYA HIDUP

FFM Dekatkan Karya Filem Tempatan Dengan Penonton - FINAS

10/12/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) berperanan penting dalam mendekatkan karya filem tempatan kepada penonton, khususnya melalui platform digital seperti perkhidmatan "over-the-top" (OTT).

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman berkata ini kerana FFM33 membuka peluang lebih luas kepada penggiat industri filem mencapai audiens global.

“FFM33 turut memanfaatkan pengaruh media sosial untuk mempromosikan karya seni tempatan secara interaktif, dan meningkatkan minat terhadap filem Malaysia dalam kalangan generasi muda. Jadi, kerajaan komited untuk terus menyokong industri filem dengan beberapa inisiatif terkini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, antara inisiatif itu ialah Program Belia Kreatif MADANI dengan peruntukan sebanyak RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan boleh memanfaatkan 16,000 orang anak muda dalam bidang seni kreatif, sebagai usaha strategik memupuk bakat muda dalam sektor itu.

Kamil berkata kerajaan turut aktif menyokong penerbit tempatan untuk menembusi pasaran global melalui penyertaan di festival dan pasaran antarabangsa serta penjualan kandungan selain berkolaborasi dengan agensi seperti Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

“Dalam soal kebajikan, melalui pemerkasaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, kerajaan melalui Finas memastikan kebajikan penggiat industri lebih terbela dengan termeterainya memorandum persefahaman antara Finas dan agensi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tema FFM33, iaitu Evolusi Sinema Malaysia (EMAS), melambangkan nilai dan potensi tinggi industri perfileman, justeru golongan muda harus terus berkarya dengan mengambil inspirasi daripada karya seniman dan seniwati agung yang masih dikenang.

FFM33 turut membawa kelainan melalui pengisian 57 program sisipan interaktif yang menjana pembangunan ekonomi kreatif selari dengan inisiatif Rekalibrasi Finas meliputi tiga teras utama termasuk peningkatan profesionalisme dan kapasiti industri melalui program "master class", latihan dan bengkel perfileman berimpak tinggi.

Beliau berkata aspek penjurian juga sangat penting dalam memastikan FFM lebih diiktiraf di peringkat antarabangsa, justeru pihak FFM akan kenal pasti juri Malaysia yang berpotensi untuk dihantar mewakili negara sebagai juri di festival antarabangsa dengan kerjasama Finas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy