KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menumpukan untuk menjalankan sesi libat urus secara komprehensif bersama pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ini kerana masih terdapat stigma daripada ibu bapa yang tidak dapat menerima sekiranya anak mereka dikenal pasti mengalami masalah kesihatan mental.
"Apabila guru-guru kaunseling mendapati terdapat kalangan kanak-kanak terutama di sekolah rendah mempunyai masalah mental, stigma masyarakat dan ibu bapa tidak dapat menerima untuk menghantar anak-anak mendapatkan saringan dan rawatan di fasiliti kesihatan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai keberkesanan langkah-langkah menerusi Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 bagi laporan yang merekodkan 424,000 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia disahkan mengalami masalah mental.
Melalui sesi perkongsian maklumat dan pengalaman, Lukanisman berkata Malaysia mempunyai program dan modul kesihatan mental yang baik dan dipuji negara luar, namun proses pengukuhan pemahaman dalam kalangan masyakarat berhubung perkara itu masih kurang.
Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli Parlimen untuk menganjurkan program peningkatan pemahaman terhadap kesihatan mental di kawasan masing-masing.
Lukanisman berkata KKM juga menyasarkan untuk melahirkan 30 pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja menjelang 2027 dan sehingga kini negara mempunyai 18 pakar berkenaan yang berkhidmat di hospital awam.
-- BERNAMA