KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Perbincangan mengenai pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sedang giat dijalankan bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan pesakit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata pelaksanaan DRG itu akan membantu mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans perubatan.
“Dengan sistem DRG, kita akan dapat mengamalkan satu pendekatan yang memastikan bayaran di hospital swasta menjadi lebih terkawal, dan dengan itu, kita dapat mengelakkan inflasi yang melampau dalam kos rawatan,” katanya.
Dr. Dzulkefly menegaskan bahawa langkah ini bukan bertujuan untuk mengawal harga, tetapi sebagai satu pembaharuan yang baik dalam sistem pembiayaan kewangan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Eropah telah melaksanakan sistem DRG.
“Negara maju telah menggunakan kaedah ini sebagai cara untuk melakukan kawalan harga dalam setiap prosedur. Itulah perkara yang akan dibincangkan seterusnya. Dengan ini tiada siapapun yang akan boleh mengenakan bayaran yang dianggap sebagai sesuatu yang terlalu mahal,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan sedang memperhalusi langkah untuk memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap kos perubatan seperti DRG bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di negara ini lebih munasabah dan adil.
Perdana Menteri berkata ia antara langkah jangka panjang yang akan dilaksanakan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengatasi isu kos perubatan yang menjadi antara alasan kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus.
Dalam pada itu Dr Dzulkefly memaklumkan seramai 7,304 mangsa banjir di seluruh negara didapati menghidap jangkitan pernafasan akut selepas menjalani saringan kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata jumlah berkenaan adalah hasil daripada saringan kesihatan yang dijalankan ke atas 34,503 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS seluruh negara, baru-baru ini.
-- BERNAMA