AM

SETAHUN DI KUSKOP: MISI PEMERKASAAN EKONOMI KOMUNITI INDIA JADI PEGANGAN RAMANAN

11/12/2024 10:52 AM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Pemerkasaan ekonomi komuniti India kekal sebagai agenda utama Datuk Seri R. Ramanan dalam peranannya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ramanan berkata misi utamanya adalah untuk memperkasakan, memajukan dan mengangkat ekonomi masyarakat India melalui sektor perniagaan yang lebih kukuh dan inklusif.

"Esok (12 Dis) genap setahun dilantik sebagai Timbalan Menteri, saya bersyukur kepada tuhan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberikan amanah ini di mana kita telah berjaya melaksanakan tujuh inisiatif khas untuk memperkasakan sektor komuniti India dalam bidang perniagaan," katanya dalam temu bual khas bersama media di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Tujuh inisiatif itu termasuk dana tambahan RM30 juta untuk program SPUMI, GOES BIG di bawah Tekun Nasional, RM50 juta untuk pemerkasaan wanita India melalui Amanah Ikthiar Malaysia di bawah program PENN (Prosperity, Empowerment and New Normal), RM50 juta melaui Bank Rakyat untuk program BRIEF–i (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing) dan RM6 juta (geran) untuk i–BAP (Indian Business Accelerator Programme) melalui SME Corp yang melibatkan jumlah dana yang diperuntukkan sebanyak RM136 juta. 

"Segala dana yang diperuntukkan itu tidak diumumkan pada Bajet 2024, diusahakan melalui satu perancangan yang cukup strategik dengan kerjasama dan sokongan agensi-agensi di bawah KUSKOP khasnya untuk komuniti India yang menjalankan perniagaan. Kita mahu memastikan mereka mendapat bantuan yang secukupnya untuk memajukan perniagaan dan juga masa depan mereka. Inilah juga buat julung kalinya segala inisiatif seperti ini diwujudkan di bawah Kerajaan MADANI.

"Saya sendiri mengetuai pasukan 'pemantauan' untuk memantau segala proses penyelarasan dan penyampaian. Kita ada KPI (petunjuk prestasi utama). Kita akan pastikan selepas dilancarkan, dalam tempoh masa sebulan kita akan buat pengumuman senarai penerima daripada permohonan yang diterima. Setiap inisiatif memiliki 'cerita-cerita' kejayaan. Kita pamerkan untuk tatapan umum. Sehinga hari ini, hampir 10,000 usahawan India telah mendapat manfaat daripada empat inisiatif tersebut," kata Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Tiga lagi inisiatif ialah Program Vanakam MADANI untuk tujuan penyampaian maklumat, Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI 2024) yang julung kali dianjurkan di negara ini untuk koperator komuniti India berkaitan dasar dan hala tuju koperasi negara, serta geran sehingga RM30,000 juga diumumkan kepada semua koperasi yang mengambil bahagian berdasarkan kelayakan dan Program EIP (Empowering Indian Entrepreneur) untuk memberikan latihan dan kursus keusahawanan kepada usahawan India.

Tiga lagi inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Vanakam MADANI untuk tujuan penyampaian maklumat, Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI 2024) yang pertama kali dianjurkan di negara ini untuk koperasi komuniti India berkaitan dasar dan hala tuju koperasi negara, serta geran sehingga RM30,000 yang diumumkan kepada semua koperasi yang mengambil bahagian berdasarkan kelayakan. Selain itu, Program EIP (Empowering Indian Entrepreneur) juga telah diwujudkan untuk memberikan latihan dan kursus keusahawanan kepada usahawan India.

"Perdana Menteri juga telah memberikan arahan untuk menambah lebih banyak inisiatif di bawah KUSKOP untuk komuniti India baru-baru ini. Saya sedang membuat satu kajian yang terperinci sebelum kita umumkan inisiatif baharu untuk tahun depan. Kita juga akan tambah nilai segala inisiatif yang sedia ada," katanya.

Ramanan berkata komitmen Kerajaan MADANI dalam menoktahkan kemiskinan tegar sebaik menerajui pentadbiran negara, kini semakin berada di landasan terbaik apabila sasaran tersebut semakin menghampiri matlamatnya.

Pencapaian itu, menurut beliau, terbukti jelas apabila pelbagai pendekatan dan inisiatif yang digerakkan Perdana Menteri bersama barisan Kabinetnya menyaksikan penyusutan begitu ketara kumpulan miskin tegar secara holistik, merangkumi berbagai kaum termasuklah masyarakat India.

Dalam usaha ke arah itu, yang turut berdepan pelbagai cabaran, Ramanan berkata jumlah individu miskin tegar yang sebelum ini mencecah lima angka iaitu 17,000 orang, kini hanya merekodkan tiga angka dalam tempoh dua tahun, sekali gus menunjukkan pencapaian memberangsangkan Kerajaan MADANI memerangi kemiskinan tegar.

Sememangnya bukan mudah, Ramanan berkata pendekatan yang digerakkan oleh kerajaan, hakikatnya, bukanlah bersifat 'jangka pendek' atau 'one off' tetapi dirancang dengan strategi pembasmian begitu sistematik bagi memastikan kumpulan itu mampu menyara hidup secara lestari dan bebas sepenuhnya daripada belenggu kemiskinan tegar.

Diibaratkan bagai memberi 'kail berbanding ikan', beliau berkata antara inisiatif yang disediakan adalah program latihan dan bimbingan KUSKOP melalui agensinya kepada usahawan India untuk membolehkan mereka mendalami perniagaan, bermula dari pengurusan kewangan, cara menangani perbelanjaan sehingga melibatkan urusan gaji pekerja.

"Selain itu, program pembiayaan mikro seperti daripada Amanah Ikhtiar turut memainkan peranan penting dalam membantu golongan usahawan ini kerana kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditawarkan adalah rendah, kurang daripada satu peratus.

"Jadi apabila mereka berjaya mengukuhkan ekonomi sendiri, sudah tentu kemiskinan tegar dapat diatasi dan dana yang diperuntukkan untuk golongan tersebut sebelum ini pula akan dapat dialihkan untuk membantu kumpulan yang berada dalam kategori miskin dengan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup mereka sehingga tidak lagi dikategorikan sebagai miskin," katanya.

Menurutnya, sejak diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan komuniti India setahun yang lepas, beliau mendapati pemimpin itu sangat serius mengambil berat mengenai taraf hidup masyarakat India apabila kerap mengadakan perjumpaan bersama pimpinan komuniti itu untuk mendengar pandangan dan permasalahan yang dihadapi.

Malah, pada tahun depan, Perdana Menteri telah menyuarakan hasrat untuk melihat lebih banyak program diadakan bagi memperkasakan lagi ekonomi masyarakat India dan untuk itu, Ramanan berkata pihaknya bersedia meneliti beberapa inisiatif yang boleh ditambah baik.

"Saya telah lama dalam politik, tidak pernah saya melihat semua pimpinan diberi ruang untuk berucap dan memberi pandangan mereka. Memang betul akan ada pandangan yang mungkin tidak baik selain idea yang bagus, tetapi di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang, semua orang diberi ruang untuk memberi pandangan mereka.

"Ini berbeza dengan keadaan sebelum ini kerana kebiasaannya, apabila kita jumpa seorang Perdana Menteri, beliau adalah pimpinan tertinggi dan hanya beliau sahaja yang akan bercakap, kita kerja ikut sahaja amanat atau mandat yang diberikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penerima manfaat daripada program bantuan yang telah dilaksanakan dapat aktif membantu kerajaan mempromosikan inisiatif tersebut agar lebih ramai yang akan menikmati manfaatnya.

Beliau mengakui terdapat segelintir penerima bantuan takut untuk mempromosikan program tersebut kerana bimbang peluang mereka untuk mendapat bantuan pada masa hadapan akan terjejas.

"Namun, ini adalah satu pemikiran yang salah kerana jika perkara ini tidak dihebohkan dan tidak mendapat sambutan yang meluas, saya tidak pasti sama ada kementerian perlu meningkatkan peruntukan sedia ada, melanjutkan program berkenaan atau melaksanakan program-program lain. Oleh itu, maklum balas dan promosi mereka penting untuk kemajuan program ini," katanya.

Berhubung dakwaan bahawa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), yang kini di bawah kepimpinan baharu kurang mengadakan program untuk masyarakat India, Ramanan mengakui memang terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa program, namun beliau yakin kepimpinan baharu sedang berusaha untuk mencari struktur program yang terbaik.

"Memang betul, inisiatif yang dilaksanakan oleh MITRA berkurang dengan hanya 14 inisiatif dijalankan, tetapi saya rasa, seadilnya, mereka sedang berusaha sedaya upaya. Kita perlu memberi masa kepada mereka untuk mencari struktur yang tepat. Pada masa yang sama, saya berharap mereka dapat mengambil langkah penambahbaikan," katanya. 

"Antaranya, memastikan terdapat seorang pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Unit Integriti menghadiri semua mesyuarat untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang pelaksanaan sesuatu program, sama ada dilakukan dengan kaedah betul atau sebaliknya.

"Bermaksud seperti perlu ada 'pengawas dalam kelas'. Kalau tak ada pengawas kelas, kadang-kadang murid-murid menjadi nakal namun dengan kaedah sebegini, ia boleh memantau sebarang keputusan dan memberi kita satu garis panduan. Kalau kita ikut garis panduan itu, tidak akan jadi apa-apa masalah," kata beliau yang pernah menjadi pengerusi MITRA pada 2023.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy