KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Memulakan perjuangan seni di usia 19 tahun dengan Studio Jalan Ampas, Singapura pada 1950-an, pelakon veteran A. Galak menyaksikan bagaimana dunia perfileman berevolusi merentasi pelbagai era.
Sepanjang lebih enam dekad bergelar anak seni, A. Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, 84, menempuh pelbagai onak dan duri industri perfileman, membintangi puluhan filem dan ratusan drama dengan membawakan pelbagai watak yang meninggalkan kesan hingga kini.
Antara filem yang dibintangi beliau ialah Nujum Pak Belalang (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1961), Azura (1984), Bayangan Maut (1991), Maria Mariana (1996), Gerak Khas (2001), Munafik (2016) dan Mat Kilau (2022).
Menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) baru-baru ini, A. Galak berkata beliau tidak sedikitpun berasa kecewa meskipun tidak pernah diberikan sebarang pengiktirafan berbentuk anugerah sebelum ini.
"Tidak (kecewa), kerana dulu semasa aktif dalam teater di Singapura saya pernah dapat pelbagai anugerah, kemudian saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berlakon dengan beberapa syarikat produksi, tapi orang tak kenal saya, jadi terpaksa bermula dari bawah," katanya kepada pemberita di sini.
"Syukur alhamdulliah, saya dipertemukan dengan Datuk Dr Yusof Haslam... mungkin beliau (Yusof) berminat cara saya berlakon, jadi banyak lakonan selama 40 tahun di bawah syarikatnya Skop Production dengan lebih 1,000 drama kepolisan," tambah beliau.
Sinonim dengan watak anggota polis berpangkat Sarjan serta misainya yang lentik, A. Galak berkata kunci kejayaan dalam dunia seni ialah sabar dan berusaha menuntut ilmu dengan pelakon yang lebih berpengalaman.
pic-2
"Banggalah juga dengan pengiktirafan (anugerah) ini, pelbagai kerja dalam dunia lakonan saya dah buat, bermula dengan jurusolek, kru, pembantu (pengarah), sehinggalah menjadi pengarah.
"Kita kena percaya kepada rezeki kerana Allah yang bagi. Selepas kita berusaha dan jika ada rezeki kita, walau jauh seribu batu sekalipun (rezeki) tetap akan datang kepada kita," katanya.
Mengimbau detik perjalanan bergelar anak seni, A. Galak berkata sekalipun ketika kecil beliau sering mengikuti arwah ibunya Rokiah Jaafar yang juga seniwati filem Melayu klasik, menjalani penggambaran filem di zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, beliau tidak berminat dengan bidang itu.
"Saya lahir di Johor Bahru, tapi dibesarkan di Singapura. Semasa kecil saya tidak minat berlakon walaupun selalu ikut arwah ibu ke tempat penggambaran, antaranya filem Putus Harapan dan Antara Senyum dan Tangis.
"Sampailah saya tiada pekerjaan selepas tamat alam persekolahan, saya mencuba nasib mencari kerja di Studio Jalan Ampas di tempat arwah ibu saya bekerja. Di situ, saya bekerja sebagai jurusolek artis lelaki sebelum terjebak berlakon dengan produksi Shaw Brothers sebagai pelakon tambahan.
"Nama saya mula dikenali apabila saya berlakon dalam filem Azura, arahan Datuk Deddy M Borhan. Dalam filem itu saya berlakon sebagai ayah Azura yang dilakonkan oleh Fauziah Ahmad Daud. Tiba-tiba filem itu meletup, dan dari situlah seluruh Malaysia mengenali saya," katanya.
-- BERNAMA