KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan SIRIM Bhd untuk menyediakan sistem penarafan bintang untuk taman perindustrian bagi memastikan setiap taman perindustrian di Malaysia memenuhi piawaian yang boleh diterima.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata ia djangka ditubuhkan tahun depan, sistem penarafan bintang itu akan menilai empat parameter utama - perancangan dan pengurusan; infrastruktur dan daya saing perniagaan; kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
"Langkah-langkah ini akan memastikan setiap taman perindustrian di Malaysia memenuhi piawaian yang boleh diterima dan memanggil mereka yang tidak memenuhi standard tersebut.
"Tidak lama lagi, garis panduan ini akan disepadukan dengan lancar ke dalam MYSite Selection Portal, memperkasakan pelabur dengan penilaian yang terperinci dan telus," katanya pada pelancaran MYSite Selection Portal dan Direktori Taman Perindustrian Malaysia di sini hari ini.
Liew mewakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Portal digital yang dibangunkan oleh MIDA itu akan merevolusikan pemilihan tapak industri di Malaysia, ia menggabungkan analitik geospatial termaju dengan data industri yang komprehensif, menawarkan pelabur alat yang belum pernah digunakan sebelum ini untuk membuat keputusan lokasi.
Pengguna boleh mengakses maklumat masa sebenar mengenai taman perindustrian di seluruh negeri Malaysia, lengkap dengan butiran infrastruktur, pilihan ketersambungan dan metrik kemampanan.
Sebagai tambahan kepada platform digital, MIDA dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) turut melancarkan Direktori Taman Perindustrian Malaysia hari ini, sebuah direktori komprehensif menyediakan maklumat terperinci mengenai taman perindustrian di seluruh negara.
“Cita-cita Malaysia adalah untuk membina rantaian bekalan yang berdaya tahan untuk pelbagai industri termasuk sektor strategik seperti semikonduktor.
"MYSite Selection Portal dan Direktori Taman Perindustrian Malaysia akan memudahkan hasrat tersebut dengan membenarkan pelabur mengenal pasti dengan pantas kawasan paling sesuai untuk operasi mereka dan memanfaatkan ekosistem pembuatan Malaysia yang kukuh dan matang," kata Liew.
Antara ciri-ciri menarik portal berkenaan adalah sistem penapisan pintar untuk padanan lokasi yang tepat; analisis masa nyata dan visualisasi data; pemetaan geospatial komprehensif dan antara muka mesra pengguna untuk navigasi yang lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata MYSite Selection Portal dan Direktori Taman Perindustrian Malaysia bukan sekadar peralatan, ia adalah pemangkin untuk membuat keputusan lebih bijak, lebih pantas dan cekap dalam sektor perindustrian Malaysia.
Sementara itu, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata penerbitan Direktori Taman Perindustrian Malaysia dengan kerjasama MIDA kini dalam edisi kedua akan menyediakan pengilang dengan panduan komprehensif untuk mengenal pasti lokasi optimum yang selaras dengan keperluan strategik mereka, pada masa sama turut menyokong penubuhan kilang pintar dan pelaburan lain bernilai tinggi.
Soh juga berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu menambah baik cara mereka menjalankan perniagaan dengan bekerjasama dengan negara maju seperti China, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti dan penggunaan teknologi terkini bagi mengurangkan pergantungan pekerja asing semasa meneroka pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA