AM

KPKM SEDIA MEKANISME BANTUAN KEPADA PETANI TERJEJAS BANJIR

12/12/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk pesawah dan Tabung Bencana Pertanian bagi pengusaha tanaman selain padi untuk membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata KPKM juga memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi bermula 13 Sept lepas untuk melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuk banjir.

Menurut beliau, bantuan di bawah TBTP diberikan dalam bentuk tunai kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam. Proses ini melibatkan beberapa peringkat penilaian, termasuk penyediaan laporan dan penilaian kerugian oleh agensi-agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dialami.

"Bagi memastikan tiada ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan, bantuan pesawah hanya diberikan kepada pesawah yang berdaftar dan telah melepasi Jawatankuasa Penapis di peringkat Agensi Teknikal," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu mekanisme pengagihan bantuan untuk memastikan petani terjejas banjir benar-benar mendapat sokongan, serta langkah kerajaan menangani isu ketirisan dan ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan.

Mohamad berkata semua permohonan bantuan akan dinilai dengan teliti dan disahkan jawatankuasa peringkat negeri sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal TBTP peringkat ibu pejabat. 

Bagi permohonan bantuan di bawah Tabung Bencana Pertanian, siasatan dan bancian kerosakan tanaman akan dimulakan dalam tempoh 14 hari selepas banjir surut untuk menilai tahap kerosakan yang dialami.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy