KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Aplikasi tempahan ambulans pertama di Malaysia, FirstHealthAssist menawarkan pengguna akses mudah kepada perkhidmatan ambulans menerusi peranti mudah alih sebagai persediaan transformasi industri perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS).
Inisiatif hasil kerjasama agensi pemasaran digital terkemuka Digital Vibes Asia (DVA) dengan FirstHealthAssist ini direka untuk memberi perkhidmatan perubatan dalam kes kecemasan dan bukan kecemasan pada harga berpatutan dan mudah diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif DVA Mark Lester Jackson berkata FirstHealthAssist bertujuan menambah baik penjagaan pesakit melalui penyelesaian inovatif dan cekap.
“Kami teruja untuk memperkenalkan perkhidmatan ini yang akan memberi manfaat kepada kesejahteraan orang ramai. FirstHealthAssist yang bakal dilancarkan pada awal 2025, akan menjadi mekanisme tambahan yang memudahkan penjagaan pesakit dengan maklumat masa nyata dan peningkatan kebolehcapaian perubatan.
“Menerusi interface ini, pengguna dapat mengesan lokasi ambulans dan anggaran masa ketibaan, yang mungkin membantu dalam situasi kritikal. Selain itu, perkhidmatan pemetaan geo yang digabungkan dalam aplikasi ini akan memberi manfaat kepada pengguna dalam mengenal pasti kemudahan penjagaan kesihatan pilihan yang terdekat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kecemasan merujuk situasi yang memerlukan rawatan segera, terutamanya dalam kes kemalangan, kecederaan serius dan keadaan kesihatan yang mengancam nyawa manakala perkhidmatan ambulans bukan kecemasan pula digunakan untuk situasi, seperti prosedur yang telah dijadualkan termasuk rawatan susulan dan kes rujukan.
Tanpa mengira kes, pengguna boleh menggunakan FirstHealthAssist untuk membuat pilihan rawatan perubatan sama ada di kemudahan kesihatan awam atau swasta.
Menjelaskan perkhidmatan tambahan, Mark berkata aplikasi ini akan mempercepat proses mendapatkan perkhidmatan ambulans kerana pengguna mempunyai akses langsung kepada ambulans terdekat.
“Aplikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini direka sebagai pelengkap kepada perkhidmatan panggilan kecemasan nasional sedia ada dan talian penting kendalian swasta dengan menawarkan platform khusus yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan perubatan termasuk kes bukan kecemasan.
“Matlamatnya untuk meningkatkan ekosistem respons kecemasan secara keseluruhan, memberikan komuniti akses yang lebih luas kepada penjagaan khusus dan menawarkan satu lagi sokongan kepada komuniti bagi perkhidmatan perubatan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata menerusi FirstHealthAssist, pihaknya yakin kes-kes kecemasan mampu ditangani dengan lebih cekap dan berkesan dengan setiap ambulans dilengkapi peralatan perubatan dan dikendalikan profesional bertauliah, semua ini ditawarkan pada kos lebih rendah berbanding harga pasaran, menjadikannya lebih berpatutan dan lebih mudah diakses orang ramai.
Mark berkata fasa pertama inisiatif ini yang melibatkan kerjasama First Health dan penyedia perkhidmatan ambulans lain ditawarkan untuk pengguna di Lembah Klang sebelum dikembangkan di seluruh negara menjelang 2026.
Fasa kedua pula akan merevolusikan perkhidmatan perubatan kecemasan menerusi pengenalan unit paramedik dua roda untuk penjagaan kritikal dan penstabilan pesakit. Ia merangkumi Rangkaian Maklum Balas Sukarelawan Kecemasan, yang menghubungkan profesional terlatih melalui aplikasi dan ambulans pintar dengan teleperubatan untuk komunikasi masa nyata dengan doktor semasa pemindahan.
Inisiatif tambahan termasuk mengintegrasikan alat diagnostik yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong paramedik dalam membuat keputusan kritikal, memperkenalkan perkhidmatan ambulans khusus dan menggunakan analitik data raya untuk perancangan kecemasan berasaskan data bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan meramalkan permintaan untuk perkhidmatan EMS.
-- BERNAMA