TANJUNG MALIM, 12 Dis (Bernama) -- Dua lelaki maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di susur keluar Proton City arah pekan Tanjung Malim dekat sini awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak DSP Zulkafli Sariaat berkata kedua-dua mereka yang berumur 29 dan 37 tahun itu dipercayai dalam perjalanan untuk merompak semasa kejadian.
Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 5.20 pagi semasa sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) yang sedang menjalankan rondaan Ops Casa Muallim terserempak dengan sebuah kereta Proton Persona yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Zulkafli berkata polis kemudian menghampiri kereta tersebut dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan, sebaliknya pemandu itu bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.
"Pihak polis mengejar kereta yang dinaiki dua lelaki itu sejauh empat kilometer sebelum kereta suspek terbabas, dan kemudian suspek telah melepaskan satu das tembakan dari dalam kereta yang mengenai kereta polis.
"Seorang suspek keluar dari kereta dan melepaskan satu das lagi tembakan ke arah polis, sebelum suspek kedua keluar dengan memegang sebilah parang untuk menyerang, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Beliau berkata susulan pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol jenis Sig Seuer bersama sebutir peluru di dalamnya serta enam kelongsong peluru, dua bilah parang, plat kenderaan palsu dan pemotong besi di dalam kereta berkenaan.
"Semakan mendapati suspek berumur 29 tahun mempunyai 20 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala rakannya mempunyai tiga rekod jenayah dan aktif melakukan jenayah samun sejak awal 2023.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. Usaha mengesan saki baki rangkaian rakan sejenayah suspek sedang giat dilaksanakan," katanya.
Zulkafli berkata berikutan insiden tersebut polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah di sekitar Tanjung Malim, Behrang dan Slim River.
-- BERNAMA