AM

RANG UNDANG-UNDANG MUFTI WILAYAH DITANGGUH

12/12/2024 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perkara itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan hari ini.

Rang undang-undang itu disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai lepas, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy