KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan satu entiti baharu bagi mengawal selia industri berkaitan unsur nadir bumi (REE) di negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata hal ini kerana kerangka perundangan dan Perlembagaan Persekutuan sedia ada sudah pun mencukupi untuk mengurus dan mengawal selia industri terbabit memandangkan pembangunan bahan mineral berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
" ... tetapi kita menggalakkan industri tempatan untuk berdaya saing dengan menembusi pasaran industri REE bermula daripada peringkat huluan sehinggalah hiliran.
"Kita hendak mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara luar untuk membangunkan industri, tetapi kami maklum bahawa ia adalah antara industri strategik yang terlibat dalam persaingan geopolitik pada peringkat antarabangsa," katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Justeru, untuk bergerak ke depan, Nik Nazmi berkata kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas baru-baru ini bagi membincangkan isu-isu serta menetapkan hala tuju pembangunan industri REE di semua peringkat.
Sementara itu, berkenaan cadangan agar kerajaan Persekutuan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan tuntutan Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang berhubung sumbangan kos pemuliharaan hutan Ulu Muda Kedah yang menjadi sumber bekalan air bagi kedua-dua negeri, Nik Nazmi berkata perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh.
Beliau memahami isu yang dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri Kedah itu kerana terdapat beberapa lembangan sungai di dalam negara merentas sempadan negeri, oleh itu ia memerlukan kerajaan hadir dengan rancangan pengurusan lembangan sungai bersepadu.
"Dalam konteks Kedah–Pulau Pinang ini, mereka (Kedah) merasakan untuk bekalan air di Pulau Pinang, kerajaan Kedah ada beban ataupun tanggungjawab untuk memelihara kawasan berkenaan, tetapi dalam rangka perundangan atau perlembagaan yang ada buat masa ini, belum ada lagi dinyatakan (pengurusan lembangan sungai bersama).
"Kalau di Australia, ada (diperuntukkan dalam perundangan) tentang soal pengurusan lembangan sungai secara bersepadu. Di negara kita, memang pernah dicadangkan, tetapi belum lagi mendapat persetujuan pada peringkat negeri-negeri.
"Sehubungan dengan itu, ia perlu dibincang lebih lanjut agar penyelesaian menang-menang dapat diwujudkan untuk menjaga isu ataupun bekalan air di setiap negeri," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dalam penggulungan bagi kementerian itu berkata sebanyak 31 daripada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU), hingga kini.
Beliau berkata lantikan itu membabitkan sebanyak 18 OKU sebagai Ahli Majlis dan 146 OKU sebagai warga kerja PBT sama ada secara tetap, sementara atau kontrak.
"Kerajaan amat menyokong penuh usaha PBT memartabatkan penglibatan OKU dalam struktur organisasi dan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing, seiring hasrat mengangkat kepentingan perkhidmatan awam yang inklusif, adil dan terangkum," katanya.
-- BERNAMA