AM

BANTUAN YKM AKAN DISALUR SECARA BULANAN MULAI TAHUN DEPAN -- ISMAIL SABRI

12/12/2024 09:09 PM

KUCHING, 12 Dis -- Bantuan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan disalurkan secara bulanan mulai tahun depan berbanding empat kali bayaran setahun sebelum ini sebagai langkah untuk memberikan manfaat yang lebih konsisten kepada penerima.

Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan itu diubah bagi memastikan penerima dapat memenuhi keperluan harian mereka tanpa perlu menunggu hingga empat bulan bagi bantuan seterusnya.

“Jumlah bantuan juga dinaikkan daripada RM2,000 setahun kepada RM2,400 setahun bersamaan RM200 setiap bulan,” katanya selepas menyantuni keluarga Tina Bong, 50, penerima bantuan YKM di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 48 penerima daripada 21 keluarga di Sarawak telah mendapat bantuan YKM sejak ia dilancarkan pada 2022 dan sehingga kini, 890 permohonan baharu diterima oleh yayasan itu dari seluruh negara. 

Ismail Sabri berkata pertambahan jumlah permohonan menggambarkan peningkatan keyakinan rakyat yang sebelum ini agak sukar berkongsi maklumat akaun bank mereka iaitu satu keperluan penting bagi menyalurkan bantuan YKM.

Pada masa sama, beliau berkata YKM akan mengenal pasti mekanisme bersesuaian dengan keadaan rakyat di Sarawak khususnya di pedalaman dan jauh daripada perkhidmatan bank untuk mendapatkan bantuan yayasan itu.

“Di kawasan luar bandar, ada penerima yang tiada akaun bank. Dalam situasi seperti ini, kita akan mencari mekanisme lain mungkin seperti memindahkan bantuan melalui akaun anak penerima atau ahli keluarga terdekat mereka,” katanya.

Semasa kunjungan beliau hari ini, Ismail Sabri dimaklumkan Tina telah kehilangan suaminya, Sim Siang Yeong, 53, akibat COVID-19 pada Oktober 2021 dan kini menumpang hidup di rumah milik mentua bersama-sama dua anaknya iaitu Ethan Sim Yong Ching, 18, dan Evan Sim Yong Ching, 15.

Wanita itu, yang hanya bekerja sendiri dari rumah membantu orang memasak jika ada permintaan dengan pendapatan tidak menentu, juga terpaksa menjaga kedua-dua mentuanya yang berusia 87 dan 85 tahun serta uzur.

"Saya mahu semua anak-anak yatim piatu (akibat) COVID-19 ini tidak berhenti belajar... bagi saya, kalau hendak mengubah kehidupan mereka, termasuk keluarga, adalah melalui pendidikan," katanya.

Ismail Sabri turut mengunjungi seorang lagi penerima iaitu Rimanoraishahida Sarbini, 37, seorang ibu tunggal anak tiga berumur antara 13 dan 16 tahun yang kematian suami, Mohamad Nuryasri Suut, 40, pada 14 Sept 2021 akibat pandemik itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy