KANGAR, 12 Dis (Bernama) -- Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di Perlis yang menjangkau 99.75 peratus, menjadi pemangkin ke arah pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan rakyat di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Mohd Ridzuan Hashim berkata antara usaha kerajaan negeri dalam melestarikan penggunaan sains dan teknologi adalah dengan meningkatkan kemudahan teknologi maya dan jalur lebar bagi memenuhi permintaan rakyat dan pembangunan masa hadapan.
“Kerajaan negeri komited dan telah bekerjasama dengan agensi berkaitan, seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Majlis Perbandaran Kangar serta jabatan, agensi kerajaan yang berkaitan.
" ... (usaha ini) telah berjaya mencapai liputan 5G hingga 99.75 peratus di kawasan berpenduduk bagi membolehkan rakyat Perlis mendapat liputan Internet pantas dan mudah yang turut menjadi pemangkin ke arah pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kalangan rakyat Perlis,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gan Ay Ling (Indera Kayangan-PH) berhubung usaha kerajaan negeri dalam melestarikan penggunaan bidang sains dan teknologi di lapangan komuniti setempat.
Mohd Ridzuan berkata selain itu, pembangunan pendidikan secara berkelompok berasaskan bandar ilmu dan berteknologi tinggi di Bandar Baru Ulu Pauh, Arau juga merupakan usaha pembangunan secara terancang kerajaan negeri dalam melestarikan penggunaan sains dan teknologi.
“Untuk makluman, usaha-usaha ini telah pun dilakukan oleh Kementerian Sains, Teknologi and Inovasi secara bersepadu sejak RMK8 (Rancangan Malaysia Ke-8) lagi dan usaha ini terus dilakukan bagi memupuk minda kelas pertama di negeri Perlis,” katanya.
-- BERNAMA