SUKAN

JELAJAH DUNIA AKHIR BWF: ZII JIA, TEMPAH SLOT SEPARUH AKHIR

13/12/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke aksi separuh akhir selepas melakar kemenangan kedua peringkat Kumpulan A, Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China hari ini.

Pemain nombor lapan dunia itu, meneruskan momentum kecemerlangannya selepas mengejutkan ranking nombor dua dunia dari Denmark Anders Antonsen 21-14, 21-19, dalam tempoh 47 minit pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou.

Zii Jia seterusnya akan bertemu wakil China Li Shifeng esok, bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan.

Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengiringi langkah positif itu, selepas bangkit daripada kekalahan set pertama 19-21 sebelum melakar kemenangan 21-14, 21-15 ke atas pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, pada perlawanan kedua mereka dalam saingan Kumpulan B.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun perlu memenangi satu lagi perlawanan menentang pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani, bagi aksi pelengkap kumpulan sebelum mengesahkan diri ke separuh akhir.

Dalam pada itu, beregu profesional lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kembali menghidupkan peluang untuk mara ke separuh akhir, selepas melakar kemenangan pertama mereka dalam peringkat Kumpulan A dengan menewaskan pasangan Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 15-21, 21-19, 21-13.

Sze Fei-Nur Izzudin bagaimanapun perlu memburu kemenangan kedua mereka ke atas juara Olimpik dua kali Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan, pada aksi pelengkap kumpulan untuk mengesahkan slot ke separuh akhir.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy