AM

TH SUMBANG RM900,000 BANTU LEBIH 1,500 PELAJAR ASNAF UITM SHAH ALAM

14/12/2024 04:53 PM

SHAH ALAM, 14 Dis (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyalurkan sumbangan sebanyak RM900,000 menerusi program Iqra’ TH kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata program inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu akan memanfaatkan 1,523 pelajar diploma dan ijazah dalam kalangan keluarga asnaf universiti berkenaan.

Beliau berkata sumbangan wang bantuan sara diri secara sekali bayar antara RM500 hingga RM600 seorang itu akan dikreditkan terus ke akaun TH pelajar terpilih.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, di samping meningkatkan semangat pelajar untuk belajar lebih tekun bagi meningkatkan taraf pencapaian akademik mereka," katanya dalam ucapan pada program itu di universiti berkenaan hari ini.

Mohd Na'im menasihati penerima manfaat supaya dapat menggunakan sumbangan itu dengan sebaik-baiknya selain berharap program Iqra’ TH dapat diteruskan pada masa akan datang dalam membantu lebih ramai pelajar asnaf.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri mencontohi program Iqra’ TH dalam usaha membantu mengurangkan jurang pendidikan dan meringankan beban kewangan pelajar daripada golongan asnaf fakir miskin ini dan yang memerlukan," katanya.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy