PONTIAN, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi sedang mengkaji penggunaan teknologi Internet tanpa wayar Tarana, syarikat penyedia perkhidmatan akses Internet tanpa wayar, bagi menyelesaikan masalah ketiadaan Internet di kawasan bentuk muka bumi yang sukar diakses untuk pemasangan gentian optik.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penggunaan teknologi secara gelombang mikro itu, satu penyelesaian bersifat hibrid yang diusahakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata di Johor kajian penggunaan teknologi Tarana dibuat di Kampung Seri Bunian di sini dan di Sedenak Tech Park, Kulai sejak Oktober lepas.
"Kelajuan Internet yang diperoleh agak baik. Kita harap melalui beberapa pertimbangan termasuk penggunaan free space optical, microwave serta WiFi yang lebih banyak, akan dapat membantu komuniti yang sebelum ini tiada kesalinghubungan Internet.
"Ujian telah dibuat sejak dua, tiga bulan lepas, jadi memandangkan kita turut melalui musim Monsun Timur Laut (MTL) keadaan cuaca ini memberi kita data yang agak baik. Sebelum bermula MTL sehingga hari ini kita ada data ketika cuaca hujan dan kering. Data ini membantu kerana ia melibatkan dua menara di lokasi berbeza. Kita akan teliti secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan projek proof of concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini hari ini.
Fahmi berkata pihaknya berharap penggunaan teknologi baharu itu, dapat menyelesaikan masalah serta melengkapkan 1.8 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum memiliki capaian Internet disebabkan faktor bentuk muka bumi yang bergunung ganang, bukit bukau dan penempatan terpencil di pulau.
"Apa yang kita lihat berdasarkan kajian teknologi ini, membolehkan kesalinghubungan atau connectivity dalam lingkungan kira-kira tiga kilometer. Teknologi seperti ini membantu mengagihkan Internet ke kawasan terpencil secara mudah, tanpa perlu menanam banyak kabel sekali gus sesuai terutamanya dari segi kos.
Berhubung JENDELA Fasa 1, Fahmi berkata pencapaian pelaksanaan projek tersebut tidak memuaskan dan pihaknya perlu meneliti bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan sempurna demi manfaat golongan sasar.
"Dalam Parlimen saya ada sebut hanya 1,385 daripada 1,661 menara telah siap dan daripada jumlah menara yang siap, hanya 808 menara telah beroperasi dalam tempoh dua tahun lebih projek JENDELA dilaksana. Ini bukan pencapaian baik dan tidak memuaskan.
"Sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini teknologi banyak berubah, membolehkan penyelesaian sementara yang memanfaatkan Internet satelit.
Ini banyak membantu terutamanya di lokasi yang mana proses melengkapkan kabel gentian optik memakan masa terlalu lama," katanya.
-- BERNAMA