AM

BERNAMA RANGKUL EMPAT HADIAH PADA MALAM ANUGERAH KEWARTAWANAN KENYALANG

14/12/2024 11:52 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Ahmad Rushdan Abdul Manan, 54, dinobatkan sebagai pemenang utama dalam kategori Foto pada Anugerah Kewartawanan Kenyalang, yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam ini.

Rushdan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta trofi dan sijil, hasil daripada karya beliau yang bertajuk ‘A journey to mourn…Rest in peace, Joanna’, dihasilkan ketika membuat liputan pengebumian Laskar Kelas I, Joanna Felicia anak Rohna di Kampung Engkeroh, Serian pada 25 April.

Wartawan Biro Bernama Kuching Rozlin Rusharmeen Rosmin, 28, juga dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Penulisan Perniagaan dan Ekonomi, menerusi artikel bertajuk ‘Inovasi Micheal Tingkatkan Kerja Membelah Buah Koko Empat Kali Ganda’.

Rozlin turut berjaya meraih tempat kedua bagi kategori Penulisan Laporan Sukan dan tempat ketiga kategori Penulisan Laporan Berita menerusi karya bertajuk ‘Dulu Kerja Di Pasar Raya, Kini Kejar Pingat Demi Malaysia; Jamil Intai Badang di Para SUKMA’ dan ‘Wira Tak Didendang: Tekad Dua Sekawan Berkhidmat Sebagai Sukarelawan’.

Menerusi ketiga-tiga kemenangan itu, Rozlin membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,000 beserta trofi dan sijil.

Sementara itu, Pemier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya berkata kerajaan Sarawak akan memperkenalkan program kewartawanan di Universiti Cambridge selama sebulan bagi pengamal media negeri yang terpilih.

Beliau berkata program itu ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri, dengan menghantar dua orang pengamal media setiap tahun.

"Jadi anda boleh bergaul dengan masyarat antarabangsa dan melaporkan apa yang berlaku kepada dunia mengikut standard global, bukan sahaja Sarawak.

"Bukan subjek kewartawanan sahaja malah program ini meliputi aspek ekonomi dan sosial bagi meningkatkan kualiti kewartawanan," katanya.

-- BERNAMA



© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy