SUKAN

VINCENTE KEKAL OPTIMS WALAPUN TEWAS 0-1 KEPADA THAILAND

15/12/2024 01:36 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 14 Dis (Bernama) --Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia Pau Marti Vicente kekal optimis bahawa pasukannya mampu mara ke pusingan separuh akhir pada kempen Piala ASEAN 2024 walaupun tewas tipis 0-1 kepada Thailand malam ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu menyatakan rasa bangga terhadap prestasi pemainnya, terutama sekali memandangkan mereka beraksi di tempat lawan menentang juara bertahan kejohanan itu.

"Kami tidak layak menerima keputusan malam ini, tetapi inilah bola sepak. Kami bertahan dan menyerang dengan baik, namun satu kesilapan penjaga gol telah dihukum oleh pihak lawan," katanya pada  sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Rajamangala di sini.

Beliau menegaskan kesilapan adalah sebahagian daripada permainan, terutamanya dalam perlawanan berintensiti tinggi dan enggan menyalahkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli atas kesilapan tersebut.

"Kita semua manusia dan kesilapan boleh berlaku. Malangnya, kesilapan penjaga gol selalunya menghasilkan kepada gol, sedangkan kesilapan di posisi lain mungkin tidak dihukum. Kita perlu memberi sokongan kepada Haziq agar dia tidak terus memikirkan kesilapan ini dan bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Melihat ke hadapan, Vicente berkata pasukannya masih mempunyai peluang untuk layak ke separuh akhir sekiranya mereka memberikan persembahan cemerlang dan menewaskan Singapura pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Dis ini.

Thailand hanya perlu berterima kasih kepada Haziq yang 'membantu' Patrik Gustavsson menyumbat gol kemenangan pada minit ke-57 selepas gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya dengan selamat.

Sementara itu, ketua jurulatih Thailand Masatada Ishii meluahkan kepuasan dengan kemenangan sukar yang diraih pasukannya.

"Dari segi taktikal, kami tidak bermain sebaik yang sepatutnya, terutama di bahagian serangan. Saya harap pemain akan memperbaiki permainan dalam perlawanan seterusnya," kata Masatada.

Pemain Suphanat Mueanta dinamakan Pemain Terbaik Perlawanan selepas membantu mencipta gol tunggal tersebut.

Keputusan itu membantu Thailand melonjak selaku pendahulu Kumpulan A, terikat enam mata bersama Singapura, yang menewaskan Timor Leste 3-0, tetapi dibezakan dengan perbezaan jaringan manakala Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata.

Hanya juara dan naib juara kumpulan mara ke ke pentas separuh akhir

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy