AM

N.Sembilan Optimis HSR Dapat Dilaksanakan, Tingkatkan Pembangunan Negeri - Aminuddin

18/12/2024 03:34 PM

SEREMBAN, 18 Dis (Bernama) -- Negeri Sembilan optimis projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura akan dapat dilaksanakan meskipun ia belum dimuktamadkan setakat ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jajaran yang turut membabitkan kawasan di Negeri Sembilan itu perlu dipertahankan bagi memastikan pembangunan yang cepat dan moden termasuk melibatkan projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 di sini.

"HSR ini penting untuk Negeri Sembilan, memang tidak ada pengumuman lagi setakat ini sama ada diteruskan atau tidak, tetapi hasil perbincangan yang dibuat sebelum ini, kita masih mempertahankan jajaran asal HSR itu.

"Dalam masa terdekat, mungkin setahun dua ini akan ada pengumuman baharu, tetapi kerajaan negeri yakin ia dapat dilaksanakan, cuma bila masanya belum dapat dipastikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah MVV City di sini semalam.

Aminuddin berkata HSR juga dilihat dapat menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi yang menghubungkan kepada pasaran serantau dan global, selain mewujudkan kelompok ekonomi dinamik serta membuka peluang baharu untuk perdagangan dan pelaburan dalam negara.

Bernama sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Strategi Badan Pemikir Pengangkutan My Mobility Vision Rahman Hussin berkata langkah meneruskan projek HSR itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memanfaatkan potensi ekonomi negara sepenuhnya, dan mengukuhkan kedudukan di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy