AM

Pertandingan Video Pendek SPAN Tingkat Kesedaran Masyarakat Kepentingan Jimat Air

19/12/2024 06:20 PM

CYBERJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Pertandingan Video Pendek Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berlangsung hingga 9 Jan tahun depan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda tentang kepentingan menjimatkan penggunaan air. 

Menyasarkan penyertaan pelajar sekolah, universiti dan belia berusia antara 18 dan 30 tahun itu, Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata pihaknya berharap golongan itu memainkan peranan dalam melindungi air yang merupakan antara sumber penting negara.

“Kita tidak ada pilihan dalam berhadapan dengan isu penggunaan air melebihi had iaitu kira-kira 274 liter air sehari, yang melebihi saranan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) iaitu 165 liter air sehari,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pertandingan itu di sini hari ini.

Beliau berkata setiap peserta perlu menghasilkan video berdurasi satu minit 30 saat berkisar tema yang ditetapkan iaitu kesan perubahan iklim, sumber air, pencemaran sungai dan penggunaan air.

“Sebuah video pendek yang kreatif bukan sahaja mampu menarik perhatian tetapi menyentuh emosi, mencetuskan perbualan dan mewujudkan perubahan tingkah laku. Dengan hanya satu klik, mesej mengenai pemuliharaan air boleh disebarkan kepada jutaan orang, merentasi usia serta latar belakang,” katanya sebelum itu dalam ucapan.

Charles berkata hadiah menarik menanti pemenang bagi setiap kategori iaitu pelajar sekolah RM1,500, pelajar universiti RM3,000 dan belia RM5,000.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di laman sesawang rasmi SPAN atau saluran media sosial rasmi SPAN di Facebook, Instagram, YouTube, TikTok dan platform X.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy